Lebih 700 pelajar terlibat dadah tahun lalu

drug-addict-sekolah

KUALA LUMPUR: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) merekodkan seramai 717 pelajar sekolah di seluruh negara terjebak dengan dadah sepanjang tahun lalu, kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan.

Beliau berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 2014, dengan seramai 622 pelajar yang terlibat berusia 13 hingga 18 tahun.

“Penglibatan dadah dalam kalangan pelajar sekolah masih terkawal dan mereka yang terlibat dipantau rapi serta diberi kaunseling.

“Antara usaha lain dilakukan kementerian ini adalah memberi penumpuan lebih kepada sekolah kategori ‘C’ iaitu sekolah mempunyai rekod disiplin termasuk kadar ponteng sekolah yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir majlis Syawal 2016 Bersama Meraikan Pelajar Cemerlang anjuran Pertubuhan Pembasmian Jenayah Narkotik Malaysia di Dewan Banquet, Pusat Latihan Polis, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Kamalanathan berkata kementerian kini sedang menunggu laporan penuh daripada AADK dan polis berhubung penahanan dua pelajar sekolah menengah kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran ganja di sekitar Bandar Sunway di sini, baru-baru ini.

“Saya difahamkan perkara ini berlaku di luar kawasan sekolah. Maka saya kecewa kerana ia masih lagi berlaku di mana ia melibatkan pelajar muda terlibat dadah,” katanya.

Pelajar berkenaan antara 16 lelaki, berusia antara 16 dan 29 tahun yang ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, dalam empat serbuan berasingan pada Selasa dan Khamis lepas.

Turut dirampas ganja seberat 11,691 gram bernilai lebih RM33,000.