Rahman Dahlan: Umno Sabah tak terjejas 1,500 keluar

Abdul-Rahman-DahlanPETALING JAYA: Tindakan 1,500 ahli Umno Sabah keluar parti mengikut jejak bekas naib presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal, diperkecilkan Datuk Abdul Rahman Dahlan hari ini.

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) itu bagaimanapun mempersoalkan sumber Shafie itu dalam mendakwa jumlah berkenaan, memandangkan pemimpin itu sudah keluar dari Umno.

Katanya, Umno bahagian Semporna yang pernah dipimpin Shafie masih utuh di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Lagi pun ahli Umno di Sabah melebihi setengah juta. Kekuatan ini tidak akan terjejas,” kata Rahman kepada FMT hari ini.

Ahli Parlimen Kota Belud itu berkata Umno Sabah akan melipat gandakan usaha memberi penerangan mengapa Majlis Tertinggi Umno bertindak menggantung keanggotaan Shafie.

“Umno Sabah akan melipat gandakan usaha memberi penerangan kepada ahli Umno Sabah mengenai kes penggantungan Shafie. Ia supaya mereka faham kenapa Majlis Tertinggi Umno terpaksa mengambil keputusan itu,” katanya lagi.

Shafie semalam berkata tindakan ahli parti keluar beramai-ramai menunjukkan akar umbi Umno Sabah tidak berpuas hati dengan pucuk pimpinan pusat dan pemimpin negeri.

Bekas menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu menjangkakan lebih ramai ahli Umno keluar daripada parti, menyatakan rakyat tidak akan “mati” tanpa BN.

Shafie menyeru rakyat Sabah supaya berani menukar kepimpinan kerajaan negeri sedia ada.

Shafie mengumumkan keluar parti pada 4 Julai lalu, selepas digantung keahlian oleh Majlis Tertinggi Umno pada 24 Jun lalu.

Umno turut memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Mukhriz Mahathir selepas dituduh berkongsi pentas bersama pemimpin pembangkang menyerang kepimpinan parti.