PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali berkata rundingan kerajaan negeri dengan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) dalam menaikkan tarif air akan diselesaikan pada Oktober ini.
Beliau berkata perjanjian itu akan dipastikan tidak akan membebankan rakyat dan akan diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan.
“Untuk makluman Yang Berhormat (Datuk Sulaiman Abdul Razak), pada ketika ini rundingan bagi pengambilalihan Splash oleh air Selangor masih berjalan dan ia bertepatan dengan tempoh ditetapkan dalam perjanjian utama.
“Beberapa perkara sedang diteliti untuk memastikan terma komersial dalam pengambilalihan Splash tidak membebankan rakyat dan ia akan diteruskan dengan kerajaan persekutuan untuk lihat keupayaan aset air berhad untuk biayai pengambilalihan,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Shah Alam hari ini.
Azmin berkata demikian menjawab soalan Adun Permatang Datuk Sulaiman Abdul Razak mengenai status perjanjian kerajaan negeri itu dengan Splash.
Katanya, sebelum ini, kerajaan negeri menawarkan RM250 juta kepada Splash namun ditolak syarikat berkenaan.
“Tempoh rundingan untuk pengambilalihan Splash akan berakhir September 2016 dan kerajaan negeri akan pastikan proses tersebut selesai dalam tempoh tersebut.
“Berhubung perkara itu, kerajaan negeri melantik penilai bebas untuk melihat nilai yang adil untuk mengambil alih syarikat konsesi air berkenaan,” katanya.