Monyet curi surat biasa, bukan dokumen rahsia, kata tentera

Angkatan Tentera Malaysia

PETALING JAYA: Tentera malam ini menafikan laporan berita yang mendakwa segerombolan monyet mencuri dokumen rahsia dari Kem Terendak, Melaka.

Sel Perhubungan Raya Tentera Darat dalam satu kenyataan menjelaskan surat yang diambil monyet-monyet penyangak daripada posmen terbabit adalah “surat berdaftar biasa dengan Pos Malaysia”.

“Tentera Darat ingin mengesahkan bahawa insiden yang berlaku seperti yang dilaporkan dalam beberapa media tidak melibatkan sebarang dokumen berdarjah Rahsia milik pihak tentera.

“Angkatan Tentera Malaysia amnya dan Tentera Darat khususnya mempunyai sistem penyampaian surat yang terkawal dan dijamin keselamatan surat tersebut mengikut klasifikasi masing-masing,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, media melaporkan segerombolan monyet liar menyerbu dan mencederakan seorang posmen yang sedang menjalankan tugas di kem itu.

Kumpulan penyangak terbabit merampas beberapa dokumen daripada mangsa berusia 33 tahun itu, kemudian melarikan diri dengan memanjat pokok-pokok bersama harta rampasan mereka.