Tertuduh serangan IS di Puchong hadapi satu lagi dakwaan

Jonius-OndieKLANG: Operator kilang yang didakwa terlibat dalam kes pengeboman sebuah pusat hiburan di Puchong, dua bulan lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas satu lagi pertuduhan memberi sokongan kepada perbuatan pengganas, hari ini.

Jonius Ondie @ Jahali, 24, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Mariam Maran Abdullah.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang tidak diwakili peguam dan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syed Farid Syed Ali.

Mariam menetapkan 7 September ini untuk sebutan semula kes.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memberi sokongan kepada perbuatan pengganas yang melibatkan penggunaan bahan letupan dengan niat melanjutkan perjuangan ideologi bagi mengugut orang awam melalui aplikasi ‘Telegram’ miliknya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di No 33, Jalan Sungai Condong 3, Bandar Armada Putra, Pulau Indah di sini, antara 25 Mac hingga 1 Julai lalu.

Kesalahan di bawah Seksyen 130 J (1)(b) Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Pada 25 Julai lalu, Jonius Ondie dan Imam Wahyudin Karjono, 20, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas tuduhan melakukan perbuatan pengganas dengan cara membaling dan meletupkan bom tangan yang menggunakan fius lever jenis ‘Fuze M213’ sehingga menyebabkan lapan individu cedera.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di pusat hiburan Movida Boulevard Sdn Bhd, Lot G2 & G3, Tingkat Bawah, IOI Boulevard, Jalan Kenari 5, Bandar Puchong Jaya, Puchong, pada jam 2 pagi 28 Jun lalu.

Di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pula, kedua-dua tertuduh mengaku bersalah atas sembilan pertuduhan memiliki, membaling dan meletupkan bom tangan menggunakan fius lever jenis ‘Fuze M213’ sehingga menyebabkan lapan mangsa cedera di tempat, masa dan tarikh sama.

Bagi pertuduhan memiliki bahan letupan, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam sebatan.

Bagi lapan pertuduhan membaling dan meletupkan bom tangan, mereka didakwa bersama mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun, jika sabit kesalahan.

Hakim, Azhaniz Teh Azman Teh menetapkan 21 September ini untuk sebutan semula kes, sementara menunggu laporan sosial Imam Wahyudin sebelum menjatuhkan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh.