Jangan hina Sarawak, kata PBB kepada Petronas

Abdul Karim Rahman Hamzah

PETALING JAYA: “Jangan hina Sarawak.”

Begitu pesan Menteri Muda Perumahan Sarawak dan ahli Majlis Tertinggi PBB Abdul Karim Rahman Hamzah kepada syarikat minyak dan gas negara berhubung isu pengambilan rakyat bukan Sarawak untuk mengisi kekosongan di negeri itu.

Bercakap kepada FMT, Karim berkata keutamaan untuk kekosongan di Petronas Sarawak perlulah diisi oleh rakyat Sarawak, bukannya oleh orang luar.

Beliau berkata gesaan ini bukan seruan yang melampau kerana kekosongan yang dimaksudkan itu di Petronas cawangan Sarawak.

“Jika kekosongan itu di Semenanjung Malaysia, kita di Sarawak tak peduli siapa yang Petronas gajikan.

“Selagi dan apabila kamu tidak temui warga Sarawak yang berkelayakan, maka bolehlah kamu cari yang lain,” katanya, dan menambah ini merupakan langkah yang praktikal.

Awal hari ini, sebuah badan nirlaba Sarawak, Kumpulan Suarah Petroleum (SPG) dilaporkan menyeru Petronas supaya mengutamakan rakyat Sarawak untuk mengisi kekosongan dalam operasinya di negeri itu.

Presiden SPG Hamin Yusuf berkata sekarang ini hanya 39% jawatan pengurusan dan 46% jawatan pengurusan pertengahan dalam operasi Petronas Sarawak diisi orang tempatan.

Mutakhir ini Sarawak mahukan kawalan yang lebih ketat keatas sumber negeri, malah Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem sebelum ini berkata pentadbirannya merancang untuk kawal aktiviti Petronas di negerinya.

Adenan mengumumkan beliau turut mendesak royalti minyak yang lebih tinggi untuk negeri itu, manakala timbalannya, James Masing bulan lalu berkata syarikat Borneo mungkin boleh ambil alih pengeluaran minyak dan gas daripada Petronas.

Masing menambah sekiranya Sarawak menguasai pengeluaran minyak dan gas negeri, ia boleh menjamin lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Sarawak.