Kerajaan akan campur tangan halang tertuduh kahwini mangsa rogol

rohani-rape

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan campur tangan untuk menghalang tertuduh kes rogol mengahwini mangsa bawah umur, kata menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Merujuk kes seorang pemuda berusia 22 tahun yang digugurkan daripada tuduhan rogol selepas mengahwini mangsanya berusia 14 tahun, beliau berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia merupakan jenayah yang harus dikenakan hukuman jika sabit kesalahan.

“Perkahwinan bagi gadis bawah umur 16 tahun perlu mendapat kebenaran keluarga, mahkamah syariah dan ketua menteri atau menteri besar di sesebuah negeri.

“Jadi, kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat akan membuat intervensi supaya perkahwinan seperti itu tidak diteruskan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Semalam, Reuters melaporkan seorang lelaki yang terbabit rogol statutori terhadap remaja berumur 14 tahun di Sarawak pada tahun lalu, terlepas hukuman penjara selepas mengahwini mangsanya.

Tuduhan ke atas remaja itu digugurkan selepas sijil perkahwinan dikemukakan dan gadis itu menarik balik aduan berkenaan.

Rohani berkata, kementeriannya dimaklumkan timbalan pendakwa raya akan membuat semakan semula ke atas kes itu di mahkamah tinggi.

“Rogol tetap rogol, pesalah mesti menjalani hukuman jika sabit kesalahan, ia tidak boleh ditutup dengan perkahwinan,” katanya.

Jelasnya, Kementerian yang diberikan amanah di bawah Akta Kanak-kanak mengambil berat kes itu dan mahu orang ramai memahami hak kanak-kanak.