Mahkamah Indonesia pertimbang larang seks LGBT

gbt

PETALING JAYA: Mahkamah Perlembagaan Indonesia pertimbang untuk menjadikan seks sesama jenis sebagai jenayah, apabila aktivis Islam yang mendesak perubahan Khamis lalu mendakwa golongan homoseksual penyebab kelunturan moral di negara majoriti Islam itu.

Langkah tersebut menyusuli tekanan terhadap golongan homoseksual di Indonesia sejak awal tahun ini, apabila menteri dan pemimpin agama mengecam homoseksualiti dan laman sesawang LGBT disekat.

Mahkamah sedang mendengar semakan kehakiman yang difailkan oleh kumpulan aktivis Islam, Aliansi Cinta Keluarga, yang mahu meminda kanun jenayah supaya melarang seks sesama jenis.

“Kami nampak kelunturan moral yang sedang berlaku,” kata Rita Hendrawaty Soebagio, pengerusi perikatan itu, kepada AFP.

“Langkah ini diambil kerana kami mencintai negara kami, kita perlu lakukan sesuatu sementara masih ada peluang.”

Kumpulan itu mendakwa pengaruh golongan homoseksual semakin merebak, terutamanya sejak Amerika Syarikat membenarkan perkahwinan sesama jenis di sisi undang-undang di seluruh negara itu pada tahun lalu, yang aktivis percaya mencetuskan tindak balas.

Mengikut undang-undang sedia ada, seks sesama jenis dan antara jenis dilarang hanya sekiranya ia melibatkan kanak-kanak bawah umur.

Semakan kehakiman difailkan pada Mei dan mahkamah sudah mengadakan lima pendengaran, termasuk satu pada minggu ini, dimana mahkamah mendengar keterangan daripada saksi pakar. Pendengaran seterusnya akan berlaku bulan ini namun tidak diketahui bila keputusan akan diberikan.

Mahkamah di lawan sesawangnya berkata ia sedang mendengar kes itu dan keterangan daripada pakar kesihatan termasuk dakwaan sek sesama jenis punca penyakit kelamin.

Seks sesama jenis dibenarkan di sisi undang-undang Indonesia walaupun homoseksualiti umumnya dilarang masyarakat. Sebilangan wilayah di negara itu, dimana kuasa dipencarkan, meluluskan undang-undang yang diilhamkan Islam terhadap seks sesama jenis.

Undang-undang Indonesia berkenaan homoseksualiti yang sedia ada lebih liberal berbanding negara jiran.

Seks sesama lelaki di Singapura masih terlarang, warisan pemerintahan penjajah yang tidak dikuatkuasakan secara tegas. Di Malaysia liwat merupakan kesalahan jenayah dan boleh membawa kepada pemenjaraan, hukuman dera, dan denda.