Parti baharu Muhyiddin untuk pecah belahkan Melayu, kata Bung Moktar

bung-mukhtar

PETALING JAYA: Parti baharu yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan mensasarkan golongan bumiputera bertujuan untuk memecah belahkan Melayu, Kata Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Bung Moktar Radin.

“Mungkin Muhyiddin beranggapan dengan memberi fokus kepada perjuangan bumiputera ianya akan melemahkan Umno dan berkemungkinan Muhyiddin tidak ada keyakinan terhadap kaum bukan bumiputera dalam memperjuangan parti baharu itu.

“Kita sedar penubuhan parti baru ini akan menarik ahli Umno yang kecewa namun masih ramai ahli Umno sanggup mempertahankan Umno,” katanya kepada FMT.

Bung merasa yakin Umno akan bertahan kerana sejarah menunjukkan partinya pernah diuji pelbagai cabaran sejak ditubuhkan, termasuklah pernah diharamkan pada 1988.

“Demikian juga apa bila Anwar Ibrahim dipecat timbul parti Keadilan dan sehingga kini masih tidak diterima rakyat secara menyeluruh,” jelas Ahli Parlimen Kinabatangan itu.

Muhyiddin dijadual mengemukakan permohonan penubuhan parti politik baharu ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dalam minggu ini, selepas jawatankuasa penaja (protem) parti itu ditubuhkan semalam.

Ahli Parlimen Pagoh dilantik presiden, diiringi perlantikan enam bekas pemimpin Umno lain ke jawatankuasa itu, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi dan Kamarulzaman Habbibur Rahman sebagai setiausaha.

Ahli lain ialah bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Akramshah Sanusi iaitu anak kepada bekas menteri Tan Sri Sanusi Junid, aktivis Syed Saddiq Abdul Rahman dan bekas ahli Wanita Umno Langkawi Anina Saadudin.