Perhimpunan Bersih 5 tersasar daripada tujuan asal, kata Ismail Sabri

ismail-sabri_bersih_600

PUTRAJAYA: Penganjur Bersih 2.0 tersasar daripada tujuan asal hendak menuntut pilihan raya bersih yang diuar-uarkan selama ini, susulan pengumuman perhimpunan kelima untuk memberi tekanan kepada kerajaan bagi membawa mereka terbabit dalam skandal 1MDB ke mahkamah.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, pengumuman NGO itu semalam jelas menunjukkan penganjur Bersih 2.0 akan berarak untuk apa sahaja isu yang timbul.

“Dulu dia kata ini untuk pilihan raya, nak adakan supaya pilihan raya yang bersih peringkat Bersih 1, Bersih 2 dulu.

“Sekarang ini semua nak campur dah. Nak berarak kerana Jabatan Keadilan Amerika Syarikatlah, nak berarak kerana apa?” soal Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu pada sidang media di kementeriannya hari ini.

Pada masa sama, Ismail Sabri mencadangkan penganjur mengadakan perhimpunan Bersih 5 di Stadium Shah Alam, jika Bersih 2.0 tidak boleh menjamin perhimpunan itu akan diadakan secara aman.

“Dulu pun kata nak berhimpun dengan aman, tapi pijak gambar dan sebagainya dan menimbulkan kontroversi besar.

“Saya tak nak kata tak bolehlah, pasal kebenarannya (diberikan) polis. Polis yang boleh benarkan atau tak benarkan. Tapi sebaik-baiknya tak payah,” tegasnya.

Semalam, Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 tidak mengumumkan tarikh perhimpunan Bersih 5 akan diadakan, sebaliknya hanya menegaskan perhimpunan itu bertujuan memberi tekanan kepada kerajaan menyiasat 1MDB dengan telus.

Susulan itu, Ketua Gerakan Baju Merah, Datuk Jamal Md Yunos yang ‘mengalu-alukan’ pengumuman itu, mengulangi komitmennya untuk mengadakan perhimpunan Baju Merah pada hari sama dengan Bersih 5.

“Ini bagi menghalang agenda kotor dan jijik puak-puak pengkhianat negara mencabul sistem demokrasi berparlimen di negara ini,” kata Jamal yang menyifatkan pengumuman Bersih itu sebagai langkah terdesak.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menasihat Bersih 2.0 supaya tidak terpesong daripada tuntutan reformasi sistem pilihan raya.

“Mereka sepatutnya tumpu isu pilihan raya adil iaitu matlamat mereka pada asalnya,” kata Khalid yang pernah menegaskan polis tidak akan membenarkan sebarang penganjuran perhimpunan jalanan bagi mendesak Perdana Menteri berundur, susulan saman sivil berkaitan 1MDB di Amerika Syarikat.