Polis boleh tetapkan syarat, tetapi tiada kuasa halang perhimpunan

Syahredzan Johan

PETALING JAYA: Polis boleh mengenakan syarat ke atas sebarang perhimpunan, tetapi tiada kuasa untuk menghalang atau menentukan matlamat protes diadakan, kata peguam.

Peguam hak asasi manusia, Syahredzan Johan berkata, perkara itu termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman (APA).

“Memang kalau ikut APA, polis boleh kenakan syarat pada mana-mana perhimpunan. Tetapi polis tidak boleh halang perhimpunan tersebut kerana kuasa untuk mengharamkan apa-apa perhimpunan sudah tidak ada lagi pada polis selepas APA dikuatkuasakan,” katanya kepada FMT hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya jika polis berhak menentukan tuntutan kumpulan yang hendak mengadakan perhimpunan berdasarkan peruntukan APA.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menasihatkan penganjur perhimpunan Bersih 5 yang belum ditetapkan tarikhnya supaya tidak terpesong daripada matlamat asal mereka, iaitu menuntut reformasi sistem pilihan raya.

Pada 25 Julai lalu, Khalid dilaporkan berkata, polis tidak akan membenarkan sebarang penganjuran perhimpunan jalanan bagi mendesak Perdana Menteri berundur, susulan saman sivil berkaitan 1MDB di Amerika Syarikat.

Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah semalam mengumumkan perhimpunan Bersih 5 akan diadakan bagi membantah “penafian berterusan daripada pihak kerajaan dan ketiadaan tindakan yang diambil” dalam skandal 1MDB.

Sementara itu, Eric Paulsen yang mengetuai kumpulan peguam hak asasi Lawyers for Liberty menegaskan, polis tidak boleh menentukan atau mengehadkan apa yang hendak diperjuangkan sesebuah kumpulan dalam perhimpunan mereka.

“Dalam APA, tiada syarat untuk kandungan protes tersebut. Mereka hanya perlu memberi notis 10 hari kepada pihak polis supaya perhimpunan dapat diadakan,” katanya.

Tambahan, kata Eric, perhimpunan yang bakal dianjurkan Bersih 2.0 juga tiada kaitan dengan Khalid.

“Secara jujurnya, ia tak ada kaitan dengan Khalid, protes pasal petrol naik atau turun ke, pasal 1MDB, suka hati mana-mana pihaklah.

“Pokoknya ialah apa yang mereka protes itu adalah aman dan tidak menjurus kepada keganasan,” tegasnya.