Afdlin Shauki boikot anugerah filem selepas ‘dimelayukan’

PETALING JAYA: Tidak berpuas hati dengan tindakan penganjur Festival Filem Malaysia (FFM) mengasingkan kategori anugerah kepada Bahasa Malaysia dan bukan Bahasa Malaysia, pelakon dan penerbit filem Afdlin Shauki memutuskan tidak hadir pada majlis anugerah itu bulan depan.

“All the best kepada semua yang tercalon, yang tak tercalon oleh sebab kebangangan…. Tahniah kerana membuat Malaysia bangga dengan karya anda!” tulisnya dalam Instagram sambil meminta maaf kepada peminatnya.

“Bilalah anak Malaysia tak kira bangsa akan betul-betul dihargai karya-karya seni mereka sebagai karya Malaysia…. All the best kepada yg tercalon!!! FFM committee good luck to you all too.”

Pengasingan filem berdasarkan bahasa diperkenalkan sejak 2011. FFM mengasingkan dua lagi kategori pada tahun ini iaitu Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik kepada bahasa Melayu dan bukan bahasa Melayu.

Tindakan ini mengundang kritikan dan menyebabkan filem pujian ramai seperti “Ola Bola” oleh Chiu Keng Guan dan “Jagat” oleh Shanjhey Kumar tidak dapat bersaing dengan filem berbahasa Melayu.

Keputusan itu mengundang kritikan industri filem terhadap Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Malaysia (PFM), yang mempersoalkan pengasingan kategori itu berbaur perkauman.

“Bagaimana Finas dan PFM memupuk perpaduan dalam industri filem Malaysia? Di mana 1Malaysia yang dianjurkan kerajaan?

“Ini Festival Filem Malaysia, bukan Festival Filem Melayu,” kata Persatuan Penulis Lakon Layar Kuala Lumpur dan Selangor dipetik Malaysiakini.