Nazir, Tony sokong Afdlin boikot FFM

tony

PETALING JAYA: Beberapa tokoh terkemuka Malaysia menyokong pendirian pelakon dan penerbit Afdlin Shauki yang tampil memboikot Festival Filem Malaysia (FFM) tahun ini ekoran pengasingan dalam beberapa kategori utama.

Pengerusi Kumpulan CIMB Nazir Razak, antara yang mengucapkan tahniah kepada Afdlin dengan menulis di Instagram beliau hari ini menyatakan pendirian Afdlin sebagai “berprinsip”.

“Hormat. Saya terkejut mendengar filem kegemaran saya, Ola Bola dan lain-lain tidak boleh bersaing untuk kategori filem terbaik Malaysia. Mengapa wujud pengasingan? Perubahan akan hanya berlaku kerana individu seperti Afdlin yang membuat pendirian berprinsip, syabas!” tulis Nazir dalam statusnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tony Fernandes juga memberi reaksi yang hampir sama menyatakan pelakon seperti Afdlin, Hans Isaac dan Harith Iskander boleh memenangi “Anugerah Akademi untuk filem campuran” suatu hari nanti.

“Ingat Cuci?” soalnya, merujuk kepada filem komedi 2008 yang dibintangi oleh Afdlin dan Hans Isaac. “Bila agaknya kita akan sedar kekuatan kita terhadap dunia ini adalah kepelbagaian yang dimiliki?”

Pelakon, Riezman Khuzaimi juga mengumumkan bakal mengikuti jejak Afdlin dengan memboikot FFM dengan hashtag Facebook, “#tiadapolitikdalamseni”.

“Saya terlibat dalam industri filem tempatan selama lebih 20 tahun dengan rakan-rakan seperti Afdlin Shauki Aksan. Hari ini saya ingin memohon maaf atas keputusan untuk memboikot FFM tahun ini,” tulis Riezman.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam FFM tahun ini.”

Pencalonan FFM tahun ini mengundang kritikan industri filem terhadap Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Malaysia (PFM), yang mempersoalkan pengasingan kategori itu berbaur perkauman.

Filem kritikal yang diiktiraf seperti “Ola Bola” oleh Chiu Keng Guan dan “Jagat” oleh Shanjhey Kumar dicalonkan di dalam kategori bukan Bahasa Malaysia.
Chiu dan Shanjhey turut dicalonkan dalam kategori pengarah bukan Bahasa Malaysia Terbaik.
FFM akan diadakan pada 3 September di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.