Pimpinan Umno Terengganu mengharap campur tangan Najib

Ahmad-Said

PETALING JAYA: Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak digesa supaya campur tangan menyelesaikan kemelut politik yang melanda Terengganu, menurut sumber yang rapat dengan pimpinan parti negeri itu.

Malah, gelombang kedua pergolakan politik yang melanda negeri itu semakin kritikal apabila ia gagal diselesaikan kepimpinan negeri dan perkara sedemikian tidak seharusnya dibiarkan begitu lama kerana ia akan menjejaskan kepercayaan rakyat kepada Umno sebagai parti pemerintah.

“Perdana menteri perlu turun ke Terengganu dengan mengadakan perjumpaan dengan semua wakil rakyat Umno dengan kadar segera dan ini merupakan pandangan ramai pemimpin Terengganu yang minat dan sayang pentadbiran Umno di negeri ini.

“Jika perdana menteri sibuk wakil rakyat Umno sanggup ke Kuala Lumpur untuk berjumpa presiden Umno itu,” kata seorang pemimpin kepada FMT.

Krisis Terengganu yang bermula pada 2014 selepas Datuk Seri Ahmad Said dipaksa melepaskan jawatannya kepada menteri besar sekarang, Ahmad Razif Abdul Rahman, kembali hangat susulan tindakan menghadapkan Ahmad Said yang juga Adun Kijal ke Lembaga Disiplin Umno kerana mengkritik kepimpinan negeri dan Najib.

Sebarang tindakan memecat Ahmad Said, atau keputusannya sendiri untuk keluar Umno, akan mengubah kedudukan BN dalam DUN, yang memiliki 17 kerusi, sementara pihak pembangkang mempunyai 15 kerusi.

Kedudukan Razif juga dikatakan terus ditekan ekoran kritikan terhadapnya daripada exco negeri, Ghazali Taib, yang juga Adun Ajil.

Malah krisis itu semakin meruncing apabila akhbar hari ini melaporkan Ahmad Said mengancam untuk keluar parti dan bekerjasama dengan PAS, sekiranya Ahmad Razif tidak meletak jawatan.

Ahmad Said bagaimanapun menafikan ada membuat kenyataan itu dan berkeras, beliau masih ahli Umno.

Mengulas lanjut pemimpin kanan itu sebagai berkata sehingga kini Ahmad Razif belum membuat sebarang tindakan dengan memanggil semua wakil rakyat bagi mendapat sokongan majoriti susulan kata dua Ahmad Said.