Zed Zaidi selar penganjur FFM buat anugerah syok sendiri

zed-zaidi-pfm

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Rozaidi Jamil atau nama popularnya Zed Zaidi juga bersetuju dengan pendirian pelakon dan pengarah Adlin Shauki mengenai wujudnya ketidakadilan dalam pengiktirafan karya seni di Festival Filem Malaysia (FFM) ke-28.

Zed berkata jawatankuasa penganjuran festival itu sepatutnya mengambil kira pendapat semua persatuan seperti Seniman, Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) dan Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) terlebih dulu.

“Kalau minta pendapat satu pihak saja memang beginilah jadinya. Jangan buat anugerah syok sendiri,” katanya sinis ketika dihubungi FMT.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat Afdlin Shauki untuk memboikot FFM28 menerusi laman Instagramnya susulan tindakan penganjur mengasingkan kategori lakon layar dan pengarah terbaik kepada dua kategori, iaitu Bahasa Malaysia dan bukan Bahasa Malaysia.

Zed berkata kategori itu tidak seharusnya wujud kerana festival ini mempertaruhkan karya orang Malaysia, bukannya orang Melayu saja.

“Tidak relevan ia diasingkan berdasarkan bahasa. Komuniti yang dilantik Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) perlu beri penjelasan dalam hal ini,” katanya dan turut memberitahu beliau tidak menerima jemputan daripada penganjur.

Pengasingan filem berdasarkan bahasa diperkenalkan sejak 2011. FFM mengasingkan dua lagi kategori pada tahun ini iaitu Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik kepada bahasa Melayu dan bukan bahasa Melayu.

Tindakan ini mengundang kritikan dan menyebabkan filem pujian ramai seperti “Ola Bola” dan “Jagat” tidak dapat bersaing dengan filem berbahasa Melayu.

FFM28 bakal berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 1 hingga 3 September ini yang menyaksikan persaingan bagi 27 kategori.