Ahmad Razif ibaratkan kemelut T’gganu hanya gaduh adik-beradik

PUTRAJAYA: Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman mengibaratkan perselisihan antaranya dan Adun Kijal, Datuk Seri Ahmad Said sebagai pergaduhan antara adik-beradik sahaja.

Berikutan itu, beliau memberi jaminan tidak akan ada usul undi tidak percaya terhadapnya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Isnin ini.

Beliau mengulas khabar angin kononnya akan berlaku pilihanraya negeri susulan krisis politik antara Ahmad Razif dengan Ahmad Said.

“Tiada kemelut di Terengganu dan tiada apa yang perlu ditimbulkan lagi kerana saya yakin dan percaya tak ada apa-apa yang akan berlaku.

“Ini adalah masalah pertelingkahan adik beradik malah, insiden seperti ini akan menguatkan lagi solidariti. Mungkin wujud keterlanjuran tetapi di Syawal ini kita saing bermaaf-maafan,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Rumah Terbuka Anak Terengganu di Perantau di Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu Ahmad Razif sekali lagi menegaskan gelombang politik kedua yang berlaku di Terengganu ibarat ribut dalam cawan justeru tidak perlu dibimbangkan.

“Ia berlaku di mana-mana. Jangan bimbang, keadaan di Terengganu stabil dan tiada yang luar biasa akan berlaku di dewan (DUN).

Adun Seberang Takir itu berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga presiden Umno sudah diberitahu supaya tidak perlu bimbang dengan kemelut yang berlaku.

“Saya selalu jumpa perdana menteri dan beri keyakinan pada beliau bahawa keadaan terkawal,”katanya.

Krisis Terengganu bermula pada 2014 selepas Datuk Seri Ahmad Said dipaksa melepaskan jawatannya kepada menteri besar sekarang, Ahmad Razif Abdul Rahman.

Bagaimanapun ia kembali hangat susulan tindakan menghadapkan Ahmad Said yang juga Adun Kijal ke Lembaga Disiplin Umno kerana mengkritik kepimpinan negeri dan Najib.

Sebarang tindakan seperti memecat Ahmad Said atau keputusannya untuk keluar Umno akan mengubah kedudukan BN dalam DUN, yang kini memiliki 17 kerusi berbanding pembangkang 15 kerusi.

Kedudukan Razif juga dikatakan terus ditekan ekoran kritikan terhadapnya daripada exco negeri, Ghazali Taib, yang juga Adun Ajil.