Calon Sinematografi Terbaik FFM juga memboikot FFM

Mohd Noor Kassim

KUALA LUMPUR: Calon Sinematografi Terbaik bagi Festival Filem Malaysia (FFM) ke-28, Mohd Noor Kassim juga mengambil keputusan untuk menarik diri daripada anugerah berprestij hiburan negara itu.

Dia yang dicalonkan untuk filem ‘Bravo 5’, menyampaikan hasrat menerusi laman sosial Facebook miliknya semalam.

“Dengan rasminya saya Mohd Noor Kassim i/c 730724****** menarik diri dari calon akhir FFM28, bukan takut bertanding tapi saya menolak keras unsur rasis .. sekian terima kasih,” tulisnya.

Dia juga dilihat terus berani mengecam kontroversi pengasingan kategori yang dilakukan oleh pengurusan FFM dalam muatnaik status seterusnya.

Dalam pada itu Presiden Persatuan Penulis Lakon Layar Kuala Lumpur dan Selangor (PENULIS), Alfie Palermo menyampaikan sokongannya terhadap tindakan Noor Kassim.

“Salah seorang pengarah fotografi terbaik di negara ini (6 kali tercalon FFM, 2 kali menang untuk Setem dan Merong Mahawangsa), dan juga calon untuk Sinematografi Terbaik di FFM 28 tahun ini memboikot FFM28 anjuran FINAS Malaysia dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM).

“Tindakan Saudara Noor Kassim amat berani, dan jelas beliau bukan seorang yang mudah tunduk pada segregasi perkauman yang diamalkan!” tulis Alfie di Facebooknya pula.

Sebelum ini, pelakon dan pengarah Afdlin Shauki, pelakon Riezman Khuzaimi, juga menyuarakan hasratnya memboikot FFM28.

Pencalonan FFM tahun ini mengundang kritikan industri filem terhadap Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Malaysia (PFM), yang mempersoalkan pengasingan kategori itu berbaur perkauman.
Filem kritikal yang diiktiraf seperti “Ola Bola” oleh Chiu Keng Guan dan “Jagat” oleh Shanjhey Kumar dicalonkan di dalam kategori bukan Bahasa Malaysia.

Chiu dan Shanjhey turut dicalonkan dalam kategori pengarah bukan Bahasa Malaysia Terbaik.
FFM akan diadakan pada 3 September di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.