Guna perkataan ‘keling’, Wanita MIC kata Tun M nyanyuk

Mohana-Muniandy_mahathir_600

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilabel nyanyuk susulan tindakannya menggunakan perkataan ‘keling’ dalam ucapannya baru-baru ini sehingga ia menjadi viral.

Ketua Wanita MIC Mohana Muniandy berkata Dr Mahathir tidak seharusnya menggunakan perkataan itu memandangkan ketika menjadi perdana menteri beliau tidak banyak membantu kaum India, tetapi kini mengeluarkan perkataan sensitif sehingga mengguris hati kaum itu.

“Tun Mahathir sebut keling, keling itu sebab apa? Dia bantu kaum India pun tidak sebelum ini, sebab itu saya kata dia sudah nyanyuk.

“Dia (Dr Mahathir) sebelum Ini banyak mengabaikan kaum India, dia tidak macam Najib (Datuk Seri Najib Razak), Najib banyak bantu kaum India dan bawa banyak perubahan,” katanya kepada FMT.

Mohana berkata kaum India juga tidak akan lagi menyokong Dr Mahathir dalam apa jua tindakan beliau termasuk sokongan kepada penubuhan parti baharu.

“Kaum India tidak akan sokong dia langsung termasuk penubuhan parti baharunya,sebab kaum India tahu siapa sebenarnya Tun Mahathir ini dan apa yang pernah beliau buat kepada kaum India.

“Tun Mahathir perlu minta maaf kepada seluruh kaum India atas segala apa yang pernah dilakukan semasa mentadbir negara, bukan saja perkataan ‘keling’ terbaru ini.

Terdahulu, satu video memaparkan Dr Mahathir menyebut perkataan ‘keling’ yang merujuk kepada India kini beredar di media sosial dan aplikasi pesanan Whatsapp sejak semalam.

Gelaran ‘keling’ dalam konteks moden pada zaman ini dianggap sebagai perkataan yang menghina kaum India, walaupun pada asalnya perkataan yang wujud sejak abad ke-15 itu tidak dianggap begitu.

Video berdurasi 25 saat itu difahamkan dirakam dalam satu program “Selamatkan Malaysia” di Langkawi pada Mei lalu.

Dalam ucapan itu Dr Mahathir membuat kritikan terhadap cara Najib menangani kumpulan bersenjata IS di negara ini.

Antara ucapan yang dibuat Dr Mahathir menerusi ucapan video yang tersebar ialah:

“Oh, pasal Najib berjuang lawan IS. Kita tengok gambar Najib pegang senapang selalu, lawan dengan IS.”

Dr Mahathir kemudian secara berjenaka berkata: “Kata apa… orang Keling kata ‘podah’. Ini bohong.”