Jurugambar Sukan Olimpik hilang peralatan kamera AS$40,000 di Rio

Brett Costello

IPANEMA: Jurugambar News Corp yang pernah memenangi beberapa anugerah fotografi, Brett Costello menjadi mangsa geng jenayah terkenal di Rio De Janiero selepas dirompak pada siang hari oleh seorang wanita di kafe yang sibuk.

Costello berada di Rio untuk merakam gambar Sukan Olimpik 2016, hilang peralatan kamera bernilai lebih AS$40,000 dalam rompakan di bandar pelancongan popular Rio, Ipanema.

“Ia berlaku dalam masa 10 saat. Costello tertipu dengan helah seorang wanita tempatan yang mendekatinya untuk mendapatkan bantuan,” petik lapor The Daily Telegraph.

Costello tidak menduga aksi wanita itu adalah untuk mengalihkan perhatiannya daripada beg gear kameranya yang diletakkan betul-betul bersebelahan beliau di dalam kafe.

“Sewaktu wanita itu bercakap dengan Costello dalam Bahasa Portugis, seorang rakannya merampas beg dan melarikan diri dengan masuk ke dalam kenderaan berhampiran yang sedang menunggunya.

“Mereka semua berlari menghilangkan diri dalam sekelip mata sebelum Costello sempat bertindak balas,” kata laporan itu.

Costello segera melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa tempatan namun tidak yakin barangan akan ditemui semula.

“Saya kaku sebentar dan rasa bodoh kerana tidak menghidu rancangan mereka, ” kata Costello.

“Saya tahu, saya tidak mungkin akan dapat semula beg atau gear kamera saya. Walaupun apa yang berlaku sangat mengecewakan, saya syukur tidak tercedera atau dicederakan.

“Ia hanya mengambil masa 10 saat, tetapi sudah cukup untuk mengingatkan beribu-ribu pelancong dan media yang berada di Rio untuk sentiasa berhati-hati dengan permainan geng jenayah ini.

“Saya ada merasa sesuatu yang tidak kena tetapi sebelum sempat berfikir apa-apa, beg dan gear kamera saya hilang,” katanya menceritakan detik cemas itu.

“Tiada siapa yang sedar apa yang berlaku, cuma saya diberitahu sebuah kenderaan ditempatkan di luar kafe untuk mereka melarikan diri. Mereka dikatakan bekerja dalam kumpulan dan licik dengan gerakan mereka.

“Polis juga tidak terkejut dengan insiden itu. Ada kamera yang dipasang di luar kafe tetapi saya tidak fikir yang akan membantu,” ujarnya