Rakyat Malaysia boleh kejar ‘raksasa’ Pokemon Go

pokemon

PETALING JAYA: Kini, rakyat Malaysia boleh merasai sendiri permainan Pokemon Go dengan memuat turunnya menggunakan aplikasi App Store dan Google Play secara percuma.

Permainan ini menggunakan kamera pada telefon bimbit, Internet dan data GPS untuk memburu “Pokemon” (Pocket Monsters) yang tersembunyi di beberapa lokasi.

The Bible Society of Malaysia di Damansara Kim, Petaling Jaya; pasar basah di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur dan Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara antara lokasi yang disenaraikan sebagai “PokeStops” untuk menangkap “raksasa” Pokemon.

The Star Online melaporkan permainan itu boleh didapati di Malaysia dan 14 negara-negara Asia yang lain termasuk Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam, Taiwan, Papua New Guinea, Fiji, Kepulauan Solomon, Negara Persekutuan Micronesia, dan Palau.

Bagaimapun belum ada sebarang kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak yang membangunkan permainan itu, Niantic.

Buat masa ini, pengguna hanya perlu melayari laman web rasmi https://www.ispokemongoavailableyet.com/, dan mendapati Malaysia dilabel “available” (disediakan), sekali gus membenarkan pengguna tempatan mengejar dan menangkap “raksasa” kecil itu.

The Star juga melaporkan, pengikut laman Facebook ‘Pokemon Go Malaysia’ sudahpun berkongsi kegembiraan bermain Pokemon Go dengan memuat naik rakam layar permainan itu sejak seawal pukul 8 pagi tadi.

FMT turut tidak melepaskan peluang untuk menguji permainan ini dan berjaya menangkap Magikarp yang kini dalam Pokeball.

Aplikasi yang dinanti-nantikan ini disediakan untuk pasaran Malaysia sehari selepas Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan mengisytiharkan permainan itu haram atas faktor ‘maslahah’ dan kemudaratan.

Pulau Pinang Mufti Wan Salim Wan Mohd Noor juga menggesa supaya permainan diharamkan kerana elemen negatifnya yang jauh mengatasi yang ‘positif.’

Permainan itu menjadi tajuk utama di seluruh dunia selepas beberapa negara dan jabatan kerajaan mengambil keputusan untuk menyekat dan menghalang permainan itu.