TPM jamin tidak bahaya Kamunting jadi pusat tahanan IS

Zahid-Hamidi_Kamunting-camp_600

BAGAN DATOH: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyelar tindakan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming yang mahu melancarkan kempen mengumpul 10,000 tandatangan bagi menghalang Pusat Tahanan Kamunting di Taiping untuk dijadikan pusat tahanan IS.

Bernama melaporkan, Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata beliau memberi jaminan kepada penduduk di Taiping dan kawasan sekitar supaya tidak bimbang dengan keselamatan mereka susulan keputusan kerajaan itu.

“Jabatan Penjara melakukan pengubahsuaian pusat tahanan itu untuk membolehkan proses deradikalisasi (pemulihan) ke atas mereka dijalankan supaya bila keluar mereka boleh diterima rakyat dan masyarakat.

“Kita tidak mempunyai waktu dan kos untuk membina penjara baharu, jadi kita gunakan Kem Kamunting ini. Masalah keselamatan negara tidak ada kompromi, walaupun berbeza ia harus diterima dengan baik,” katanya dipetik daripada Bernama.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Bagan Datoh di Wisma Umno, Hutan Melintang di sini hari ini.

Mesyuarat tersebut yang dihadiri 477 perwakilan dirasmikan Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Pada masa sama, beliau berkata semua pihak termasuk pemimpin parti politik dan orang awam jangan memperkecilkan pertukaran maklumat khususnya berkaitan ancaman terhadap keselamatan negara antara Malaysia dengan negara lain.

“Soalnya bukan ‘jika’ tapi ‘bila ia akan berlaku’, jangan fikir ini isu politik, jangan ingat kami (pihak berkuasa) cuma berikan ugutan.

“Kami berikan maklumat supaya kita siap siaga dan boleh ambil tindakan, tidak mahu serangan seperti di sebuah pusat hiburan di Puchong, Selangor pada 28 Julai lalu (berulang),” katanya.

Zahid berkata bagi memastikan usaha mengekang kegiatan serta ancaman militan IS daripada menular dalam kalangan rakyat di negara ini, ia menuntut jalinan serta kerjasama daripada parti politik.

“Walaupun pembangkang, tapi sama-samalah kita tangani permasalahan IS ini, ketepikan kepentingan politik dan sama-sama mengatasi pengaruh IS menerusi media sosial,” katanya.

Ditanya mengenai enam rakyat Indonesia ditangkap di Pulau Batam kerana merancang serangan terhadap Singapura, Zahid berkata ketika ini terdapat lebih 300 pengikut Abu Bakar Bashir berada di pulau itu.

“Beliau (Abu Bakar) dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan berakhir dan bebas, sebab itu mereka di Batam mahu menjadikan ia sebagai wilayah baharu IS,” katanya.

Katanya, bagi memastikan semua ancaman dan pengaruh militan tidak masuk ke negara ini, pihak keselamatan menempatkan pelbagai aset dan kekuatan di kawasan berisiko.

“Kita kenal pasti kawasan dinamakan ‘black spot’. Selain itu kita juga akan menggunakan Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi untuk pemantauan menerusi media sosial,” katanya.