3 rentung, kereta langgar bas di Rawang

bas-rentung

KUALA LUMPUR: Tiga individu yang belum dikenali identitinya rentung apabila kereta yang dinaiki mereka dipercayai melanggar sebuah bas di kilometer 447.7 Lebuhraya Utara-Selatan dari arah Rawang ke Pusat
Bandar, semalam.

Akibat perlanggaran kira-kira 8.30 malam itu, kedua-dua kenderaan terbabit terbakar sepenuhnya, manakala penumpang dan pemandu bas berjaya menyelamatkan diri.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Rawang, Ahmad Kamar Afendi Ismail berkata, identiti kesemua mangsa belum dikenal pasti.

“Kesemua mayat akan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat,” katanya.

Seramai 14 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang dan Kuala Kubu Bharu dikerah ke lokasi kejadian.

Kemalangan itu mengakibatkan kesesakan lalu lintas sepanjang empat kilometer.

Dalam pada itu, pemandu bas persiaran berkenaan, Mahmud Othman, 54, berkata kejadian berlaku dengan pantas apabila sebuah kereta Proton Saga dari lorong ketiga masuk secara tiba-tiba ke laluan bas itu yang berada di lorong kedua daripada empat lorong jalan berkenaan.

Mahmud berkata, dia tidak sempat mengelak kereta berkenaan, mengakibatkan perlanggaran disebabkan jarak kenderaan mangsa ketika kejadian sangat rapat dengan basnya.

“Perlanggaran itu menyebabkan bahagian kereta itu terbakar dan api marak dengan cepat.

“Saya mengarahkan kesemua 15 penumpang keluar dari bas sebelum api merebak ke seluruh bas,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di tempat kejadian.