Aizad, si barista bisu cipta kerjaya di Starbucks

aizad-starbucks

BANGSAR: Minatnya terhadap industri makanan dan minuman sejak kecil membuatkan pemilik nama Muhammad Aizad Ariffin yang pekak dan bisu, melangkaui segala cabaran serta halangan dan nekad menyertai syarikat kedai kopi antarabangsa Starbucks.

Tidak menggunakan status orang kurang upaya (OKU) itu sebagai penghalang, Aizad memberanikan diri hadir ke sesi temu duga di Starbucks cawangan Berjaya Times Square pada 2013 dan syarikat itu mengambilnya bekerja sebagai barista.

“Sebelum ini saya hanya dibenarkan bekerja di belakang dapur, tidak boleh ke depan. Paling terkesan ketika bekerja di sebuah restoran sebelum ini, saya hanya ditugaskan mencuci dan lap pinggan saja.

“Saya sedar kekurangan diri membuatkan ramai majikan meletakkan pekerja OKU di balik tabir. Tapi, kami juga manusia mahu diberi peluang untuk berjumpa orang ramai,” katanya ketika ditemui FMT di Starbucks cawangan Bangsar Village II.

Temu bual FMT dengan Aizad dijalankan menerusi terjemahan pengurus cawangannya, Evonne Lo yang mahir berbahasa isyarat.

Cabaran

Pemuda berusia 28 tahun ini tidak pernah menyalahkan takdir kerana dilahirkan dengan kekurangan itu, malah menganggap segalanya ujian Ilahi.

“Dalam hidup saya tidak pernah kenal erti putus asa. Starbucks beri saya peluang belajar mengenali diri lebih mendalam.

“Saya akui ketika diterima bekerja sebagai pembancuh air, saya risau. Namun segalanya dilalui dengan tenang atas bantuan pihak pengurusan yang tidak jemu memberi tunjuk ajar, sebelum saya ditempatkan di Starbucks cawangan Pavilion seterusnya di Berjaya Times Square,” katanya.

Berdepan dengan pelbagai ragam pelanggan di kaunter bukan perkara mudah bagi seorang OKU. Ada yang datang dengan mimik wajah gembira, sedih, marah, keliru dan lain-lain.

“Masalah komunikasi adalah normal. Pelanggan di kaunter berkerut apabila saya mula berkomunikasi menggunakan isyarat tangan. Tetapi menjadi lebih kelakar apabila mereka jadi lebih bisu daripada kami yang ambil pesanan,” katanya sambil menunjukkan isyarat ketawa.

Tarikh 6 Jun 2016 merupakan tarikh bersejarah bagi Aizad kerana pihak pengurusan memberi kepercayaan kepadanya untuk menggalas tanggungjawab sebagai Pengurus Shift.

“Saya yakin pengalaman tiga tahun banyak mengajar saya cara untuk mengawal keadaan pada waktu puncak terutama antara jam 12 hingga 3 petang,” katanya.

Starbucks cawangan Bangsar Village II mempunyai 12 pekerja.

Evonne yang berasal dari Tawau yang banyak memberi tunjuk ajar kepada Aizad.

“Aizad rajin orangnya dan tidak pernah mengeluh biarpun keadaan sibuk,” katanya dan mengakui pengalaman mengendali pekerja OKU agak berbeza.

Dan dalam masa yang sama, Evonne berkata beliau tidak pernah membezakan layanan terhadap semua 11 barista lain di bawah pengawasannya kerana percaya semua kakitangan perlukan perhatian.

“Komunikasi amat penting dalam penyampaian informasi kepada golongan pekak dan bisu. Mereka lebih mudah faham dalam bentuk ‘straight forward’.

“Proses memberi arahan kepada mereka perlu jelas dan nyata kerana mereka ada sifat ingin tahu yang tinggi,” katanya dan menambah kesabaran tinggi diperlukan untuk melatih golongan ini.

Visi hidup

Ketika ditanya mengenai masa depannya, Aizad berkata jika diberi peluang beliau ingin bergelar pengurus cawangan suatu hari nanti. Malah, katanya beliau tidak menolak jika kemungkinan dapat bertemu jodoh dengan pelanggan.

“Pada usia 28 tahun,saya sudah tahu apa yang dimahukan dalam hidup. Kerjaya dan peribadi harus seimbang.

“Jika diizinkan Tuhan, saya berdoa agar diberi kesihatan dan terus bekerja sehingga bergelar pengurus cawangan.

“Saya tidak kisah sekiranya jodoh saya di kalangan pelanggan Starbucks. Asalkan dia boleh menerima kekurangan dan sayang saya seadanya,” katanya.

Anak bongsu empat beradik ini berharap golongan OKU di luar sana membuang perasaan malu untuk bekerja hanya kerana bimbang dengan stigma masyarakat.

“Zaman sudah berubah. Kita harus buktikan OKU juga mampu hidup dan bekerja seperti orang normal. Pekak dan bisu bukan halangan seseorang untuk berjaya.

“Setiap individu ada hak untuk menunjukkan bakat mereka seterusnya dapat menyumbang sesuatu kepada komuniti. Kalau anda boleh, kami juga boleh,” katanya.