Jurugambar dakwa dipijak penyokong selepas perlawanan Perak-JDT

jurugambar-dipjak

IPOH: Sekurang-kurangnya dua penyokong pasukan bola sepak JDT dan seorang jurugambar akhbar The New Straits Times Press (NSTP) cedera dipercayai akibat terkena balingan objek keras dalam kekecohan yang berlaku di Stadium Perak malam semalam.

Kekecohan berlaku selepas tuan rumah, Perak kalah 0-1 kepada pasukan pelawat ‘The Southern Tigers’ dalam saingan Liga Super.

Ketika penyokong JDT berada di tengah padang bagi meraikan kemenangan itu, provokasi tercetus sehingga menyebabkan penyokong kedua-dua pasukan saling membaling botol minuman dan mercun.

Setengah jam kemudian, kira-kira 1,000 penyokong JDT diarahkan pihak keselamatan berkumpul di tengah padang sebagai langkah keselamatan selama hampir satu jam.

Sementara itu, jurugambar NSTP yang cedera, Supian Ahmad, 36, mendakwa beliau diserang penyokong JDT di tengah padang, selain dipijak di beberapa bahagian badan.

“Kamera saya yang bernilai kira-kira RM30,000 juga dirampas dan saya mengalami kecederaan di kaki, mata dan perut akibat dipijak,” katanya.