Kaki putus, harapan belum lagi putus bagi Shaaban

Shaaban-Hussin_kaki1

KUALA LUMPUR: Pemain golf profesional negara, Shaaban Hussin berjanji akan ‘swing’ kayu golf semula selepas beliau berjaya mendapatkan kaki palsu.

Walaupun kini dirinya kekurangan daripada segi fizikal selepas kaki kiri dipotong akibat terbabit dalam kemalangan pada April lalu, ia tidak mematahkan semangat anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu untuk bangkit kembali mengembangkan karier golfnya.

“Sekarang ini nak main susah sikit. Saya mahu pastikan keadaan fizikal saya 100% pulih terlebih dulu. Saya tidak mahu berhenti separuh jalan, bagi saya hidup dan mati untuk golf,” katanya ketika ditemubual FMT di Hospital Rehabilitasi Cheras baru-baru ini.

Malah dengan kejayaan yang dikecap sebelum ini, Shaaban bertekad untuk membuka akademi golfnya sendiri.

“Saya hendak buat akademi sendiri untuk melatih kanak-kanak sebab saya banyak menang kejohanan. Saya tahu selok-belok bagaimana ingin menjadi juara.

“Saya ada ingatan dan skil. Saya tidak mahu hentikan karier begitu saja. Saya ingin serahkan kepada adik-adik yang berbakat dan berkongsi pengetahuan bagaimana ingin menjadi juara,” katanya.

Juara Kejohanan PGM Sime Darby Harvard 2016 itu berkata hubungannya dengan keluarga, sanak saudara, sahabat taulan dan jiran kini semakin erat selepas kemalangan itu.

“Alhamdulillah, tidak ada masalah langsung daripada kedua-dua belah keluarga. Mereka sentiasa menjaga saya tanpa pilih kasih.

“Keadaan seperti inilah yang membuatkan saya sangat gembira. Saya juga tidak menjangkakan rakan banyak menolong malah hubungan kami semakin rapat,” katanya.

Sebelum bergelar pemain profesional, Shaaban merupakan pemain amatur yang berada di ranking pertama Malaysia pada 2001 dan 2002.

Bapa dua anak itu dimasukkan ke wad pada 1 Ogos hingga ke tarikh yang belum ditentukan bagi membolehkan kaki palsu dipasang dengan kos antara RM15,000 hingga ke RM20,000.

Mengulas mengenai masa depan sukan golf negara, Shabaan berbangga apabila dua pemain golf profesional negara berjaya menempah slot ke Sukan Olimpik di Rio.

“Ia sejarah untuk sukan golf negara. Tiada kejohanan sukan yang lebih besar selain Olimpik.

“Saya juga memasang impian untuk bermain di sukan Olimpik, saya mencari mata demi mata tetapi apabila sudah dekat tiba-tiba jadi pula macam ini,” katanya.

Shabaan mencipta nama di peringkat Asia apabila berada dalam kelompok 10 terbaik pada Kejohanan Terbuka Brunei (ke-9) dan berada di tangga ke-11 pada Kejohanan Worldwide Holdings Selangor Master Malaysia 2009.

Pada 2010, beliau turut menamatkan permainan di tangga ke-10 pada Kejohanan Terbuka Kemboja dan paling membanggakan apabila Shaaban merupakan satu-satunya pemain tempatan menggalas cabaran pada Kejohanan Golf Asia Pasifik Klasik CIMB Malaysia.

Pada masa sama, Shaaban turut berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang melawatnya pada 5 April lalu.

“Saya mendapat sokongan sangat kuat dari Majlis Sukan Negara, Kementerian Belia dan Sukan, dan Yayasan Atlet Kebangsaan.

“Mereka betul-betul menyokong. Saya tidak sangka sokongan diberikan betul-betul terbaik,” katanya.

Katanya, keadaan fizikalnya itu juga menyebabkan beliau kerap kali diajukan pertanyaan oleh anak sulungnya, Danish Irfan yang masih kecil.

“Dia selalu tanya mana kaki ayah, saya beritahu kaki ayah sudah tidak ada, saya nasihatkan dia supaya jangan bawa basikal laju-laju, nanti akan jadi macam saya,” katanya senyum.