Karyawan bidas Tony, Nazir tiba-tiba peduli industri filem tanahair

mat-london-nizar-tony

PETALING JAYA: Cuba baiki perkhidmatan untuk pelanggan Air Asia dan perkhidmatan pinjaman di CIMB, kata seorang pembikin filem menjawab kritikan tokoh korporat Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Seri Nazir Razak.

Ahmad Ibrahim, atau gelarannya Mat London, berkata kedua tokoh itu tidak dikenali sebagai orang yang peduli tentang pembangunan atau masalah industri filem tempatan.

Bagaimanapun, Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, dan Nazir, Pengerusi Kumpulan CIMB, menyertai golongan pengkritik pencalonan anugerah Filem Festival Malaysia (FFM).

“Selama ini dua orang ini tidak ambil peduli pun pasal perkembangan atau masalah industri filem kita, malah tak pernah nampak beri sokongan rasmi untuk penganjuran festival filem, apatah lagi membantu jadi penaja FFM. Tetapi, bila ada isu macam ini, laju saja mereka tumpang sekaki bantai FFM.” kata Ahmad dalam satu temubual yang disiarkan Tabloid Seni hari ini.

“Bila orang industri minta tolong dengan AirAsia dan CIMB atas urusan filem, mereka tak layan pun,” tambahnya. “Tak perlulah nak tumpang hangatkan keadaan, baikilah apa yang berada di tempat kamu seperti servis untuk penumpang AirAsia dan khidmat pembiayaan di CIMB.”

Fernandes dan Nazir antara mereka yang mengulas tindakan meletakkan pencalonan Ola Bola dan Jagat untuk filem terbaik, lakon layar terbaik dan pengarah terbaik dalam kategori bahasa bukan Melayu dan bukan dalam kategori utama.

Kenyataan Nazir menyusuli pelakon dan pembikin filem Afdlin Shauki yang mengumumkan akan memboikot FFM tahun ini kerana pengasingan bahasa dalam beberapa kategori.

Nazir mengucapkan tahniah kepada Afdlin, dengan berkata: “Hormat. Saya tergamam bila terdengar Ola Bola kegemaran saya dan lain-lan tidak dapat bersaing untuk cerita Malaysia terbaik. Mengapa diasingkan? Perubahan hanya berlaku kerana individu seperti Afdlin mengambil pendirian berprinsip, tahniah!”

Fernandes dalam responnya pula berkata pelakon seperti Afdlin, Hans Isaac dan Harith Iskander mungkin suatu hari nanti ‘menang Anugerah Akademi untuk cerita campuran’.

“Ingat lagi Cuci?” soalnya, merujuk kepada komedi 2008 lakonan Afdlin dan Hans Isaac. “Bila kita akan sedar kekuatan kita berdepan dunia ini ialah kepelbagaian kita?”

Ahmad rasa tersentuh Fernandes dan Nazir kini mulai prihatin dengan festival filem namun menambah mereka tidak perlu campuri isu itu.

Katanya pengasingan adalah atas dasar serta semangat identiti perfileman nasional, dan menjelaskan ia sememangnya syarat penyertaan festival yang diguna pakai sejak dulu, mengikut Dasar Perfileman Nasional (DFN).

“Kena faham isu ini terlebih dulu, jangan sedap mulut saja cakap. Kena hormati peraturan yang kita buat, kita ada dasar, peraturan dan Akta yang termaktub…termasuk syarat penyertaan FFM. Kita ada identiti nasional menerusi filem nasional dan bahasa nasional.”

Sementara itu, seorang lagi pembikin filem, Datuk Jurey Latiff Rosli, tidak sependapat. Dalam satu laporan Malay Mail Online, Jurey berkata persaingan sihat bagus untuk industri. “Sebab itu, kalau dasar perlu ditukar, tukarlah,” kata Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) itu.

Beliau turut bingung filem bahasa Bajau akan diletakkan dalam kategori yang mana sekiranya ia layak ke festival itu. “Saya akan mengarahkan filem bahasa Bajau. Jadi apa kategori filem yang akan saya masuk? Sebab ia bukan bahasa Melayu,” soalnya.