Kenapa penjawat awam, ahli politik hantar anak ke sekolah antarabangsa dan SJKC?

ti-2

PETALING JAYA: Ramai penjawat awam dan ahli politik menghantar anak mereka ke sekolah antarabangsa dan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) bagi menguasai kemahiran berbahasa dan mendapatkan pendidikan menyeluruh, kata pemimpin MCA Ti Lian Ker.

Ketua Biro Keharmonian Agama MCA itu berkata, ketua jabatan, pegawai daerah, yang dipertua majlis perbandaran dan wakil rakyat Umno menghantar anak ke sekolah antarabangsa atau SJKC, sejak 10 tahun lalu.

“Mereka dan ibu bapa bukan Melayu yang lain beritahu saya, mereka menghantar anak ke sekolah antarabangsa atau sekolah Cina kerana mahu anak-anak mereka menguasai bahasa Inggeris atau Mandarin.

“Mereka berpendapat ada lebih banyak nilai komersil (dalam bahasa itu).

“Ramai di antara mereka mahu anak-anak belajar bahasa Mandarin untuk memudahkan mereka menjalani perniagaan dengan China atau mahir berbahasa Inggeris untuk memegang jawatan dalam korporat,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kajian dua tahun Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) yang mendedahkan sekolah aliran Cina mampu menjadi sekolah arus perdana menggantikan sekolah kebangsaan dan mungkin menjadi lebih majmuk dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Ahli MPPK yang baru bersara, Prof Teo Kok Seong dilaporkan berkata, ketika ini, kira-kira 18% murid di sekolah Cina terdiri daripada kanak-kanak Melayu dan hanya 4% murid bukan Melayu belajar di sekolah kebangsaan.

Jelasnya, antara faktor utama ialah kaedah pengajaran dan didikan yang lemah di kalangan guru-guru, pentadbiran sekolah kebangsaan didominasi satu kaum, sekolah dilihat “terlalu Islam”, isu disiplin merupakan satu daripada masalah besar dan keadaan sekolah tidak diurus dengan baik, termasuk menggunakan komputer ketinggalan zaman.

Ti mendakwa tindakan bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan ‘bahasa baku’ pada 1988 adalah punca kejatuhan standard bahasa Inggeris di sekolah kebangsaan.

Tegasnya, tiada apa yang tidak kena dengan sistem pendidikan negara selepas kemerdekaan.

“Tetapi disebabkan ahli-ahli politik tempatan mahu meninggalkan jejak mereka, bahasa Inggeris diketepikan. Ibu bapa mula tidak selesa.

“Beliau mahu menunjukkan yang beliau lebih Melayu daripada orang Melayu. Dalam proses itu, banyak kerosakan dilakukan.

“Kebanyakan ahli politik mahu meninggalkan jejak tetapi dalam jangka panjang, mereka memusnahkan proses pendidikan,” katanya.

Beliau berpendapat, sekolah kebangsaan sebenarnya mampu menarik kemasukan lebih ramai murid daripada keluarga bukan Melayu, jika ia memfokuskan pendidikan dan bukannya agama sebagai tanggungjawab serta tugas utama mereka.

“Sekolah kebangsaan sepatutnya menumpukan perhatian terhadap pendidikan, manakala sekolah agama boleh menggabungkan sebanyak mana agama yang mereka mahu dalam kurikulumnya.

“Sama seperti kewujudan sekolah aliran sains, beberapa sekolah kebangsaan boleh dikategorikan sebagai sekolah jenis agama,” katanya.

Jelasnya, “orang ramai akan kembali” sebaik sahaja sekolah kebangsaan dianggap pendidik yang serius dan jika bahasa Inggeris atau bahasa ibunda murid-murid turut diberi keutamaan.

Ahli jawatankuasa pusat MCA itu berkata, kanak-kanak daripada keluarga kaya dan miskin dibenarkan bergaul di bawah satu bumbung turut membantu memberi peluang sama untuk mencapai kejayaan dan menggalakkan perpaduan.

Dahulu, jelasnya, sekolah Convent dan sekolah kebangsaan yang terkenal mempunyai guru-guru terlatih di England yang dilihat berdedikasi dan serius dalam mendidik generasi akan datang.

“Tetapi sekarang, pengetua mencampuradukkan fundamentalisme agama dengan pendidikan. Budaya sekolah ketika ini mungkin tidak memenuhi keperluan kebanyakan ibu bapa,” katanya.

Walaupun kelas bahasa Tamil dan Mandarin diperkenalkan di sekolah kebangsaan, ibu bapa bagaimanapun berpendapat mata pelajaran itu tidak dipandang serius.