Kita cuma ikut contoh baik Erdogan, kata pemimpin Amanah

salahuddin-ayyub

PETALING JAYA: Recep Tayyip Erdogan disanjung ramai aktivis Islam sedunia termasuk Malaysia, namun tindak tanduk presiden Turki itu kebelakangan ini menimbulkan tanda tanya sama ada beliau wajar menjadi contoh kepada politik Islam, atau tidak.

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub bersetuju pada dasarnya dengan kenyataan seorang sarjana Islam dari Amerika Syarikat baru-baru ini, Dr Nader Hashemi, yang menasihati golongan Islamis tidak menjadikan Erdogan sebagai contoh.

Salahuddin, salah seorang bekas pemimpin PAS yang keluar parti Islam itu tahun lalu ekoran kekalahan puak yang diberi jolokan “Erdogan” itu, berkata terdapat perkara yang baik boleh dicontohi daripada kepimpinan Erdogan, seperti kepintarannya dalam memantapkan ekonomi negaranya.

“Jika kita lihat pemerintahan Erdogan juga ada kebaikan seperti mewujudkan peluang pekerjaan yang banyak dan melonjak negara Islam dalam Kesatuan Eropah (EU),” katanya.

Erdogan, daripada Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) yang berlandaskan Islam, presiden pertama yang dipilih rakyat Turki pada Ogos 2014, selepas menjadi perdana menteri Turki selama 11 tahun sejak 2003.

Erdogan berjaya menyingkirkan saki baki elemen tentera di negara yang pernah melihat percantuman kuasa tentera dan puak sekularis untuk beberapa dekad itu.

Pada 15 Julai lalu, sekumpulan anggota tentera Turki cuba merampas kuasa tetapi berjaya dipatahkan selepas gesaan Erdogan supaya rakyat turun ke jalanan disambut ramai.

Terlalu lama memerintah

Salahuddin bersetuju dengan pandangan Dr Nader Hashemi, mengenai bahana seseorang itu memerintah terlalu lama seperti di Turki dan Malaysia.

Katanya, peraturan di beberapa negara Barat yang menetapkan dua penggal saja untuk seseorang pemimpin memerintah perlu dicontohi.

“Seseorang pemimpin itu tidak boleh terlalu lama memerintah kerana ini hanya membuka ruang untuk menunjukkan sesuatu perkara buruk seperti rasuah. Pemimpin juga perlu digalakkan untuk memerintah selama dua penggal bagi memberi peluang kepada kepimpinan yang lebih baik,” katanya kepada FMT.

Nader, pengarah Pusat Kajian Timur Tengah di Universiti Denver, AS, dalam siri lawatannya di Kuala Lumpur baru-baru ini, mengkritik Erdogan atas beberapa tindakan mengembangkan kuasa autoritariannya dan menyekat parti pembangkang di Turki demi mengekalkan pemerintahannya.

Sehubungan itu, Nader menasihatkan pemimpin pergerakan Islam tidak mencontohi Erdogan.

Ketua Penerangan Amanah Khalid Samad bersetuju Erdogan tidak sempurna, namun layak menjadi kebanggaan umat Islam yang kini ketandusan kepimpinan ikhlas memperjuangkan kehormatan ummah.

“Kehormatan ummah hanya mampu dibina atas akhlak politik bersih dan amanah. Bukan politik seperti yang wujud di seluruh dunia umat Islam khususnya Malaysia,” katanya.

Sebaliknya, Naib Presiden Amanah Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata Malaysia tidak perlu menjadikan Erdogan sebagai contoh tetapi boleh meneladani kaedah beliau sebelum berkuasa.

Pautan:

Erdogan bukan pemimpin contoh, sarjana beritahu Islamis di Malaysia