MIC kini 70 tahun, pejuang sebenar kaum India, kata Saravanan

saravana_mic_indians_600

PETALING JAYA: Kedudukan sosioekonomi kaum India di negara ini semakin baik daripada masa ke masa dan salah satu faktor utamanya ialah kerana MIC disokong pemerintahan kerajaan semasa.

Bagaimanapun, Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC Datuk M Saravanan berkata beliau kesal apabila kerajaan dan MIC sering kali disalahkan atas kegagalan dan kualiti kehidupan masyarakat marginal kaum India.

“Masalah yang dihadapi MIC sebagai parti yang memperjuangkan kaum India adalah apabila semua masalah orang India adalah salah MIC, dan semua kejayaan orang India ialah usaha individu itu sendiri atau kredit diberikan kepada orang lain.

“Isu masalah sosial sangat subjektif. Semua kaum di negara ini juga berdepan masalah sosial dan apa yang tidak dibenarkan kepada kita (bangsa India) juga tidak dibenarkan untuk orang lain, misalnya warga asing.

“Tetapi bagaimana warga asing boleh berjaya, memiliki pusat perniagaan di mana-mana sekarang?,” soalnya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual khas sempena ulang tahun ke-70 MIC yang jatuh pada hari ini.

Saravanan berkata kaum India di Malaysia harus berhenti menyalahkan MIC tetapi melihat pada kekurangan diri sendiri.

Memberi contoh isu asas iaitu masalah ketiadaan kad pengenalan dalam kalangan warga India negara ini yang dikatakan berlaku kerana tiada atau kekurangan dokumen penting.

“Negara mana yang akan beri kad pengenalan jika tiada dokumen? Itu pun mahu salahkan MIC. Apa pun, kami tetap cuba sedaya upaya untuk membantu termasuk menerusi pelbagai saluran NGO dan sebagainya,” katanya.

Merujuk kepada fasa pra kemerdekaan hinggalah era reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Saravanan menegaskan hanya MIC menjadi platform untuk kaum India dan sudah banyak memperjuangkan nasib serta hak mereka.

“Sejak 1957 hingga 2008, kami yang memperjuangkan nasib kaum India. Namun, saya akui ada kelemahan dalam sistem pada satu masa tertentu sehingga tercetusnya himpunan Hindraf.

“Hindraf juga menyebabkan peralihan angin dalam politik kaum India sehingga kaum ini mula diberi perhatian yang lebih serius,” akuinya mengimbas kepada perhimpunan haram Hindraf pada 25 November 2007 di Batu Caves.

Saravanan tidak menolak Hindraf sebagai titik tolak baru dalam sistem pemerintahan negara tetapi mengakui pemerintahan Datuk Seri Najib Razak berjaya membetulkan situasi itu dengan memberikan tumpuan yang tidak pernah diberikan oleh mana-mana perdana menteri sebelum ini.

“Tiada mana-mana perdana menteri yang menyediakan peruntukan dana untuk sekolah Tamil, kuil, meningkatkan pengambilan pelajar universiti dan pengambilan kakitangan di sektor awam seperti mana yang dilakukan Najib,” katanya.