‘Parti baharu akan lingkup jika pemimpin angkuh, lupa daratan’

khairuddin-abu-hassan-anina

PETALING JAYA: Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menasihatkan pemimpin parti baharu yang diasaskan Tun Dr Mahathir Mohamad supaya tidak berperangai seperti pemimpin Umno sekarang, bagi mengelakkan ia hancur di tengah jalan.

“Kalau ianya hanya duplikasi daripada Umno, parti baharu ini juga akan lingkup. Kalau pemimpin parti baharu berperangai macam pemimpin Umno, parti baharu ini juga akan hancur cepat, yang penting ialah ketulenan kepimpinan parti baharu.

“Pemimpin-pemimpin parti baharu ini jangan angkuh dan lupa daratan. Pelajari dan timbalah ilmu sebanyak mungkin daripada Dr Mahathir. Dr Mahathir adalah tokoh negarawan yang cemerlang pada era kepimpinan emas beliau di negara kita suatu masa dulu.

“Pemimpin parti baharu jangan lagak pandai sangat, mereka perlu ikut acuan Dr Mahathir, insya-Allah mereka akan selamat,” katanya ketika dihubungi FMT.

Terdahulu, penganalisis politik menjangkakan penubuhan parti baharu Dr Mahathir yang menumpukan Melayu dan bumiputera tidak akan kekal lama, sebaliknya lebih menguntungkan Umno.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, parti baharu yang ditubuhkan daripada serpihan Umno ibarat menempah ‘kubur’ sendiri dan bakal mengikut jejak parti-parti serpihan sebelum ini.

Tersentak dengan kritikan Ahmad Zahid, ahli jawatankuasa penaja parti baharu, Anina Saadudin mencabar menteri dalam negeri itu mempercepatkan kelulusan permohonan parti baharu kerana di mata pemimpin Umno, parti serpihan berkenaan tidak mampu memberi tentangan sengit.

Anina berkata, tindakan kumpulan itu menubuh parti baharu menumpukan bumiputera kerana Umno yang memperjuangkan nasib golongan terbabit, terpesong daripada perjuangan asal di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

“Umno dibunuh pemimpin-pemimpinnya sendiri yang tamakkan wang ringgit, gila kuasa dan mengamalkan nilai hidup jahat. Seumpama Umno kini di bawah naungan kuasa hitam yang bertuhankan jin dan iblis.

“Kita sudah ada parti berbilang bangsa, parti untuk agama, parti untuk bangsa Cina, parti untuk bangsa India, tetapi kita tiada parti untuk bumiputera selepas Umno dirosakkan dengan wang haram.

“Perlu ada sebuah parti baharu yang segar dan bersih seperti kain putih untuk menjaga kepentingan bumiputera, agama Islam dan negara. Jangan samakan parti baharu dengan mana-mana parti serpihan Umno yang lain,” katanya kepada FMT.