PKR: Pengasingan Ola Bola, Jagat seperti agenda perkauman

Fahmi-Fadzil

PETALING JAYA: PKR hari ini membidas Festival Filem Malaysia ke-28 dan berpendirian Ola Bola karya Chiu Keng Guan dan Jagat karya Shanjhey Kumar Perumal harus dinilai sepenuhnya di atas merit kesenian dan kebudayaan serta keupayaan membincangkan soal perpaduan dan bukan berdasarkan bahasa semata-mata.

“Untuk hanya melihat sebuah filem dari sudut bahasa hanya melebarkan jurang di antara kita, walhal seni itu sebenarnya mampu mendekatkan kita,” kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR berkongsi pendapat Fahmi itu, dan menggambarkan pengasingan kedua cerita itu “seperti agenda perkauman”.

“PFM (Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Malaysia ) dan Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) seperti kerajaan Apartheid di Afrika Selatan suatu ketika dahulu kerana mengasingkan filem-filem yang secara dasar dan realitinya mencerminkan Malaysia,” kata Ahli Majlis AMK Jestin Raj Savarimuthu dalam satu kenyataan.

“Kedua-dua filem ini menjadi begitu popular dimana pelbagai lapisan masyarakat menonton filem-filem berkenaan dan ianya memberi nafas baru kepada rakyat Malaysia untuk kekalkan semangat rakyat Malaysia.”

Finas dan PFM berkata pengasingan kategori anugerah FFM bertujuan memartabatkan bahasa kebangsaan dalam filem tempatan.

Ketua Pengarah Finas Datuk Kamil Othman memberitahu Malay Mail Online bahawa perbadanan menetapkan dasar skrip filem tempatan perlu sekurang-sekurangnya 70% dalam bahasa Melayu.