Umat Islam perlu hindari Pokemon Go, nasihat Jakim

jakim

PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyeru umat Islam di negara ini menghindari permainan Pokemon Go kerana ia boleh memudaratkan mereka.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Othman Mustapha berkata, Jakim menyokong keputusan mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada 1 Ogos lalu yang tidak membenarkan umat Islam melibatkan diri dengan Pokemon Go atas pelbagai faktor.

Jelasnya, saranan itu selaras syarak, di mana umat Islam perlu mencegah atau menyekat jalan yang boleh membawa kepada kerosakan dan kemudaratan kepada diri mereka.

“Keputusan tersebut selari pandangan hukum negara-negara Islam lain yang membuktikan permainan Pokemon Go ini menjadi penyebab insiden membahayakan sehingga meragut nyawa.

“Permainan ini juga nyata mendatangkan kesan negatif kepada golongan kanak-kanak dan remaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jumaat lalu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, umat Islam tidak dibenarkan bermain Pokemon Go dan Pokemon, susulan perbincangan bersama Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan, Isnin lalu.

Zulkifli berkata, aplikasi permainan Pokemon Go dan Pokemon menunjukkan seolah-olah wujud kuasa dan dewa tertentu, sekali gus menjurus kepada perjudian.

Semalam, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menyifatkan permainan realiti berperantara Pokemon Go lebih banyak mendatangkan kemudaratan berbanding kebaikan kerana ia boleh mengundang kepada jenayah dan mengganggu privasi orang sekeliling.

Justeru, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang berkata, perbincangan sama ada pemainan siber yang menjadi kegilaan masyarakat masa kini itu perlu diharamkan atau sebaliknya, hanya akan diadakan jika mendapat aduan daripada orang ramai atau dicadangkan anggota jawatankuasa fatwa berkenaan.