Amanah gesa Agong lantik PM sementara

Mohd-Sany-HamzanPETALING JAYA: Amanah hari ini menggesa Yang di-Pertuan Agong mengarahkan peguam negara membuka semula siasatan ke atas 1MDB, ekoran pendedahan pihak berkuasa Amerika Syarikat berhubung salah laku lebih AS$3.5 bilion membabitkan syarikat milik negara itu.

Ketua Pemuda Amanah, Mohd Sany Hamzan turut berharap kuasa Agong di bawah Perlembagaan Persekutuan boleh digunakan untuk melantik seorang perdana menteri sementara menggantikan Datuk Seri Najib Razak sehingga pilihan raya akan datang.

Jabatan Kehakiman pada bulan lalu memohon penyitaan aset berkait 1MDB bernilai AS$1 bilion, susulan dakwaan salah laku dan kecurian wang.

Dalam memorandumnya kepada Agong, Sany berkata identiti “Malaysian Official 1” dalam kertas laporan dikemukakan Jabatan Kehakiman itu jelas merujuk kepada Najib.

“Ternyata ‘Malaysian Official 1’ adalah YAB Perdana Menteri Malaysia iaitu Datuk Seri Najib Abdul Razak.

“Para 263 kertas kausa ‘Civil Forfeiture’ tersebut mengaitkan ‘Malaysian Official 1’ sebagai pegawai kerajaan yang telah dibebaskan oleh Peguam Negara dalam siasatan derma RM2.6 bilion (AS$681 juta) yang dimasukkan ke akaun persendirian Perdana Menteri, sedangkan, fakta di dalam kertas kausa ‘Civil Forfeiture’ tersebut jelas mendakwa jumlah tersebut adalah berasal daripada wang 1MDB yang telah diubah secara haram,” kata Sany dalam memorandum Pemuda Amanah kepada Agong itu.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali baru-baru ini mempertahankan keputusannya tidak mendakwa Najib yang mengaku menerima wang sebanyak RM2.6 bilion sebagai derma politik dari Arab Saudi.

Bagaimanapun, dokumen penyiasat Malaysia yang dipetik The Wall Street Journal sebelum itu mendakwa wang tersebut dipindahkan daripada entiti berkait 1MDB ke akaun peribadi Najib.

Sany berkata Apandi seharusnya mengarahkan pembukaan semula siasatan terhadap 1MDB.

Pemuda AMANAH Nasional amat kecewa dengan keengganan Peguam Negara untuk bertindak dalam isu atau kes yang secara jelas telah membelakangkan kepentingan negara dan rakyat walaupun dapatannya sebelum ini sama sekali bercanggah,” katanya.