BN Sarawak alukan keputusan tahan permit pekerja Petronas

James-Masing

KUCHING: Pimpinan BN Sarawak menyokong langkah membekukan semua permohonan permit kerja baharu untuk kakitangan Petronas bukan anak watan yang mahu bekerja di negeri itu.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing berkata kuasa imigresen kerajaan negeri digunakan secara berpatutan dalam hal ini.

“Ini adalah langkah terbaik dan satu-satunya jalan yang boleh diambil kerajaan Sarawak untuk menghalang Petronas daripada mengambil orang luar bekerja dalam industri minyak dan gas di perairan Sarawak. Kita ada kuasa imigresen disemadikan dalam Perjanjian Malaysia 1963, jadi gunakan kuasa itu bukannya teriak Petronas berlaku tak adil terhadap orang Sarawak,” kata Masing kepada FMT.

“Apa gunanya ada kuasa kalau tak guna?”

Masing, yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), menambah Petronas tidak boleh menggunakan ketersediaan pekerjaan di Sarawak untuk “mendiskriminasikan” anak watan berkelayakan yang mencari kerja dalam industri itu.

“Saya menggesa Petronas supaya bersikap munasabah dan beri rakyat Sarawak pekerjaan yang selayaknya dan peluang perniagaan yang kami mampu lakukan,” tambahnya.

Menteri Kerajaan Tempatan Dr sim Kui Hian mengulangi keyataan Masing, dengan berkata keputusan kerajaan negeri pernah mencipta suatu duluan.

“Kita perlu campurtangan bagi pihak guru dalam sistem kerajaan. Tidak ada sebab mengapa peraturan yang sama tidak boleh digunakan untuk syarikat milik kerajaan,” kata Kui Hian.

“Kami menghargai saudara senegeri bawa isu ini ke perhatian Ketua Menteri dan Jemaah Menteri. Kerajaan Sarawak sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat Sarawak,” kata Presiden SUPP itu.

Moratorium dicadangkan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen Khamis lepas, apabila menggesa kerajaan Sarawak supaya menarik balik permit kerja dan permit imigresen untuk rakyat bukan Sarawak yang berkerja di pengurusan dan pengurusan pertengahan di Petronas di negeri itu.

Ketua pembangkang negeri itu berkata keutamaan perlu diberikan kepada rakyat Sarawak dalam hal guna tenaga operasi Petronas Sarawak.

Kerajaan negeri tidak membuang masa untuk melaksanakan cadangan itu. Pagi ini, dilaporkan kerajaan negeri membekukan semua permohonan permit kerja baharu oleh rakyat bukan Sarawak yang mahu bekerja di Petronas negeri itu dengan serta merta.