Felda mahu muktamadkan Fasa 3 projek FIC London bulan ini, kata Isa

fic-wenbley

KUALA LUMPUR: Fasa ketiga projek hartanah Felda Investment Corp (FIC) di Wembley, London akan dimulakan selepas perbincangan dengan pemaju bagi memuktamadkan harga dalam tempoh dua minggu.

FIC adalah cabang pelaburan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Pengerusi Kumpulan Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, fasa ketiga projek itu melibatkan pembinaan satu kompleks mengandungi sebuah hotel serta unit apartmen dan pejabat.

Menurutnya, fasa ketiga adalah sebahagian pakej pembangunan oleh pemaju berpangkalan di London, EIDE Construction, yang telah menyiapkan dua kompleks penginapan pelajar dalam fasa satu dan dua.

“Fasa pertama, kompleks penginapan pelajar 550 bilik diberi nama Felda House Wembley, dilancar pada Oktober tahun lalu. Fasa kedua, Grand Felda House, dilancarkan pada Julai tahun ini dengan mempunyai 802 bilik pelajar,” katanya pada sidang akhbar selepas meraikan bakal haji di sini, hari ini.

Fasa pertama dan kedua menelan belanja £167.76 juta manakala fasa ketiga lebih £100 juta, tambahnya.

Terletak kira-kira 500 meter dari Stadium Wembley, projek ini dibangunkan berperingkat-peringkat dengan FIC membeli setiap hartanah daripada pemaju selepas disiapkan.

Semua ketiga-tiga hartanah itu akan diuruskan C-R-M (CRM) Students Ltd, satu daripada jenama pengurusan penginapan pelajar bebas terkemuka di United Kingdom dengan lebih 15 tahun pengalaman.

Felda kini memiliki 12 hotel dan resort, termasuk apartmen perkhidmatan Grand Plaza, Bayswater dan Grand Plaza Kensington, kedua-duanya di London.