Guna lesen kafe untuk judi haram, gantung perniagaan 3 tahun

Datuk-Seri-Mohamad-Hasan

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pemilik atau penyewa premis didapati menyalahgunakan lesen perniagaan kafe dengan menjalankan kegiatan judi haram tidak akan dibenarkan menjalankan sebarang perniagaan selama tiga tahun.

Beliau berkata tindakan tegas itu bagi memastikan pihak tidak bertanggungjawab ini tidak terus mengambil kesempatan melalui lesen perniagaan kafe yang diberikan bagi membanteras kegiatan haram itu.

“Selain itu, tuan punya kedai atau premis mesti bertanggungjawab dengan apa jua jenis perniagaan dijalankan di premis mereka yang disewakan, kalau didapati digunakan untuk perjudian haram, premis itu tidak dibenarkan menjalankan sebarang perniagaan selama tiga tahun,” katanya.

Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Penguatkuasaan Judi Haram akan menjalankan serbuan dan pemantauan bagi memastikan premis judi haram yang telah diambil tindakan tidak kembali beroperasi, katanya.

Mohamad berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Loke Siew Foke (DAP-Chennah) yang mahu tahu usaha yang diambil kerajaan negeri bagi memastikan premis judi haram yang telah ditutup tidak lagi kembali beroperasi, pada persidangan kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Ke-13 di sini hari ini.

Mohamad berkata di bawah akta berkaitan jenayah judi ketika ini, berlaku pertindihan antara bidang kuasa polis dan pihak berkuasa tempatan dan usaha sedang dilakukan untuk membolehkan penalti kebih berat dikenakan bagi memastikan masyarakat bebas masalah judi atau masalah tidak bermoral.

Katanya sejak beliau memberikan kata dua kepada pihak berkuasa kira-kira dua minggu lepas, kegiatan judi haram nampaknya banyak berkurangan.

“Setakat ini selepas saya berikan kata dua kepada pihak berkuasa, Tampin sifar dengan kegiatan judi haram, daerah lain ada lagi walaupun majoriti sudah tiada … kita juga telah keluarkan arahan sampingan kepada pihak Syarikat Air Negeri Sembilan dan pihak TNB potong bekalan bagi premis yang terlibat, kerjasama ini penting,” katanya.

Beliau berkata mereka yang berada di premis judi ini juga akan ditahan dan didakwa.