Hanya 28% rakyat terdiri tenaga kerja berkemahiran tinggi, kata timbalan menteri

Ismail-Abdul-Muttalib-foreign-workers-1

KUANTAN: Hanya 28 peratus rakyat Malaysia terdiri daripada tenaga kerja berkemahiran tinggi, satu angka yang agak rendah jika dibandingkan dengan negara-negara maju lain yang mencapai tahap 40 peratus tenaga kerja mahir di kalangan rakyatnya.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, sehubungan itu kementerian komited untuk mempertingkatkan sekurang-kurangnya tujuh peratus jumlah berkenaan memastikan negara berada di landasan yang betul untuk muncul sebagai negara maju menjelang 2020.

“Usaha melahirkan modal insan berkemahiran tinggi ini pastinya selaras dengan perkembangan dan permintaan industri di Malaysia dan bagi mencapai hasrat itu, kementerian melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) antara lain telah membangunkan Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia.

“Sistem ini dibangunkan mengikut peruntukan Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Akta 652) bagi mengawal selia dan menjamin kualiti program latihan kemahiran yang dikendalikan oleh mana-mana penyedia latihan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Seminar Human Resources Summit di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Adenan Abdul Rahman.

Beliau berkata kerajaan juga sedang mentransformasikan mekanisme permintaan dan penawaran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi memenuhi keperluan 1.5 juta pekerjaan baharu yang akan diwujudkan menjelang tahun 2020.

“Dianggarkan 60 peratus daripada pekerjaan baharu ini memerlukan kelayakan TVET pada 2020.

“Justeru, kerajaan sedang merangka program latihan agar lebih relevan dan bersepadu bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir selain memperkukuhkan kerjasama strategik antara kerajaan dan pihak industri untuk meningkatkan kemahiran pekerja,” katanya.

Katanya bagi mencapai tujuan itu pihak industri perlu memberikan pekerja pelbagai latihan seperti program peningkatan kemahiran, latihan semula kemahiran, latihan kemahiran baharu atau latihan kemahiran perluasan skop.