‘Jualan murah’ ruang pejabat di menara Tabung Haji dekat KLCC

menara-th-platinum

KUALA LUMPUR: Kadar sewa Menara TH Platinum di Jalan Sultan Ismail akan diturunkan kepada RM5 kaki persegi dalam usaha Lembaga Tabung Haji memastikan ruang pejabat di situ tidak dibiarkan kosong.

“Ia seperti jualan murah,” kata Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Adi Azuan Abdul Ghani, dipetik The Star hari ini.

Katanya, adalah lebih baik Tabung Haji menyewakan ruang pejabat itu daripada membiarkannya terus kosong.

Tawaran murah itu meliputi lima tingkat dan tamat hujung tahun ini, kata Adi.

Kadar RM5 kaki persegi itu lebih rendah daripada harga pasaran iaitu antara RM7.50 dan RM8.

Tindakan Tabung Haji itu menimbulkan persoalan mengenai masalah lebihan ruang pejabat di bandar raya.

Menara TH Platinum 38 tingkat milik dana haji itu dibeli pada harga RM450 juta, dan merupakan bangunan pejabat gred A terletak berhampiran Menara Kembar Petronas di KLCC.

Adi berkata Tabung Haji mempunyai sejumlah 8 juta kaki persegi untuk disewakan di seluruh negara, dan 7% daripadanya kosong, kebanyakannya di Menara TH.

Selain Bangunan Tabung Haji di Jalan Tun Razak, ia turut memiliki TH Selborn, Menara TH Glomac di Petaling Jaya, Blok D Plaza Sentral dan Bangunan 2A di Bangsar South, di samping hotel dan ruang pejabat lain di Arab Saudi, Australia dan UK.

Anak syarikatnya, TH Properties, kini membangunkan hotel 300 bilik berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang.