Khoo Kay Kim pasti Dr M tiada niat hina India

Khoo-Kay-KimPETALING JAYA: Pakar sejarah Tan Sri Prof Khoo Kay Kim yakin Tun Dr Mahathir Mohamad tidak berniat menghina orang India apabila menggunakan perkataan “keling”, yang mengundang kemarahan beberapa pihak.

“Individu bijak seperti beliau tidak akan menggunakan sebarang perkataan yang boleh mendatangkan kemudaratan pada mana-mana kaum.

“Saya yakin Tun menggunakan perkataan itu tanpa ada niat untuk menghina atau menyinggung perasaaan kaum India,” katanya kepada FMT.

Dr Mahathir dilihat menggunakan perkataan yang dianggap penghinaan terhadap penduduk berbangsa India negara ini, dalam satu rakaman video Mei lalu mengkritik cara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menangani masalah militan.

“Kita tengok gambar Najib pegang senapang selalu… lawan dengan IS… kata apa… orang keling kata ‘podah’. Ini bohong,” kata bekas perdana menteri itu.

Semalam, Pemuda MIC Sivarraajh Chandran menuntut Dr Mahathir memohon maaf secara terbuka.

“Masyarakat India benci perkataan ‘keling’ kerana apabila ia digunakan untuk merujuk kepada kami, ia membawa maksud untuk menghina.” katanya.

Bagaimanapun, Khoo berkata Dr Mahathir juga berdarah campuran India dan tidak mungkin beliau sanggup memburukkan susur galur sendiri.

“Saya pasti beliau hanya berjenaka,” ulasnya ringkas.

Khoo berkata perkataan “keling” berasal daripada nama “Kalinga” dan digunakan pada era penjajahan bagi menggambarkan pendatang benua kecil India.

“Segelintir berpendapat penggunaan perkataan ‘keling’ dianggap menghina sekaligus tidak menghormati masyarakat India di Malaysia.

“Namun masyarakat ramai yang salah anggap walhal ia tiada kena mengena dengan menghina,” katanya.