Malaysia Airlines lantik ketua pegawai komersil baharu

Arved-von-zur-Muehlen-1

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Bhd (MAB) hari ini mengumumkan pelantikan Arved von zur Muehlen sebagai Ketua Pegawai Komersial (CCO).

Dalam kenyataan di sini, Ketua Pegawai Eksekutif MAB Peter Bellew berkata von zur Muehlen akan memegang jawatan berkenaan berkuat kuasa 5 Sept, 2016.

“Beliau akan memberi tumpuan kepada usaha pembangunan pelan menyeluruh dan mampan bagi menambah baik pemasaran, jualan, produk dan perkhidmatan pelanggan MAB.

“Beliau yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam industri penerbangan, akan menambah nilai dalam jualan, pemasaran dan inovasi teknologi syarikat,” katanya.

Bellew berkata von zur Muehlen akan memainkan peranan penting dalam fasa pemulihan syarikat yang berikutnya dengan memberi tumpuan kepada pemulihan kedudukan MAB sebagai syarikat penerbangan antarabangsa yang utama serta membangunkan perkhidmatan menumpukan pelanggan inovatif bagi syarikat penerbangan.

Sebelum pelantikan berkenaan, von zur Muehlen merupakan Naib Presiden Kanan Operasi Rangkaian Komersial Qatar Airways, katanya.

“Beliau bertanggungjawab bagi pembangunan dan strategi jualan global serta inovasi dan teknologi dengan sasaran perolehan lebih US$7 bilion,” katanya.

von zur Muehlen, memiliki ijazah dalam bidang ekonomi dari Johann Wolfgang-Goethe University Frankfurt, mengambil alih jawatan itu daripada CCO sekarang ini, Paul Simmons, yang akan meninggalkan syarikat pada pertengahan September 2016.