Mana ada syarikat Cina tak mahu ambil orang Melayu, jawab MCA

Koh-Chin-Han-1PETALING JAYA: Seorang ahli Jawatankuasa Pusat MCA menyifatkan Tajuddin Abdul Rahman “mengarut” kerana menuduh syarikat Cina mendiskriminasikan orang Melayu.

Menjawab kenyataan Ahli Parlimen Pasir Salak semalam di perasmian mesyuarat sayap Umno Bahagian Permatang Pauh, Koh Chin Han berkata siswazah yang diambil bekerja dinilai atas dasar merit bukan kaum.

Chin Han juga menuntut Tajuddin kemukakan bukti menyokong dakwaannya.

“Adakah Tajuddin mempunyai apa-apa bukti yang sah mengenai dakwaan beliau syarikat swasta milik Cina enggan menggajikan orang Melayu?

“Jika tidak ada sama sekali, dia hanya menyebarkan dakwaan dalam percubaan untuk memecahbelahkan orang Melayu dan Cina, yang merupakan satu perbuatan yang sangat ganas,” kata Chin Han menurut laporan Malaysiakini.

Beliau turut menuduh Tajuddin tidak yakin akan kemampuan orang Melayu mendapat kerja di sektor swasta dan mengesali seorang Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno perlu menggunakan kad perkauman akhirnya.

“Saya agak tertanya-tanya sama ada Tajuddin tinggal dalam lingkaran berasaskan kaum dalam jangka masa yang panjang dan dengan itu menjadi seperti katak di dalam perigi, mula melihat sesuatu dengan pemikiran perkauman?

“Atau adakah Tajuddin kurang yakin dengan keupayaan orang Melayu hingga dia fikir sektor swasta mengamalkan diskriminasi terhadap Melayu?” menurut laporan itu lagi.

Menegaskan merit mengatasi kaum apabila permohonan siswazah dinilaikan, Chin Han berhujah kemampuan calon, sikap, pengalaman dan sejarah prestasi kerja ditekankan demi kemakmuran syarikat.

“Faktor-faktor seperti kaum dan agama biasanya tidak diambil kira sama sekali.

“Terdapat banyak pekerja Melayu yang cerdik bekerja di sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan,” tambahnya.

Dalam ucapannya semalam, Tajuddin memberitahu media berbasa Cina bahawa mereka bebas untuk melaporkan kenyataannya kerana tidak ada yang berani membangkitkan isu itu.

Beliau berkata diskriminasi terhadap orang Melayu menyebabkan kira-kira 1.5 juta tidak punyai pilihan lain melainkan menyertai sektor awam.