Pengarah Jagat tidak boikot anugerah FFM

jagatPETALING JAYA: Pengarah filem Tamil tempatan Jagat, Shanjhey Kumar Perumal tidak akan memboikot Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28), sebaliknya akan menggunakan strategi berbeza selepas kontroversi penganjur mengasingkan kategori kepada filem berbahasa Melayu dan bukan Melayu.

“Kami percaya isu ini boleh diselesaikan atau diperbaiki melalui sesi dialog dengan pihak-pihak yang terlibat dengan festival filem ini, ” kata Shanjehy dipetik sebuah akhbar tempatan.

Pelbagai pihak mempersoalkan keputusan Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Malaysia (PFM) yang hanya filem tempatan menggunakan 70% dialog Melayu layak bagi kategori Filem Terbaik.

Shanjehy sebelum itu berkata Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 tidak menyentuh langsung mengenai penggunaan bahasa kebangsaan dalam pembikinan filem.

“Malah, tiada takrif yang jelas mengenai filem nasional atau filem Malaysia,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Penjurian FFM, Nancie Foo berkata filem tempatan harus menggunakan 70% dialog dalam Bahasa Malaysia, tetapi menambah beliau sendiri tidak tahu bila keputusan ini dikuatkuasakan.

Pengasingan filem berdasarkan bahasa diperkenalkan sejak 2011. FFM mengasingkan dua lagi kategori pada tahun ini iaitu Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik kepada bahasa Melayu dan bukan bahasa Melayu.

Tindakan ini mengundang kritikan dan menyebabkan filem pujian ramai seperti “Ola Bola” dan “Jagat” tidak dapat bersaing dengan filem berbahasa Melayu.

Shanjhey berkata beliau menghargai pelakon Afdlin Shauki dan sinematografi Mad Noor Kassim atas pendirian mereka memboikot FFM.