Pengasingan kategori: Persatuan artis Cina pertahan FFM28

FFMPETALING JAYA: Persatuan Artis Cina Malaysia (Amca) mempertahankan tindakan penganjur mengasingkan kategori filem bahasa Melayu dan bukan bahasa Melayu pada Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28).

Naib presidennya, Ye Xiao yang dipetik China Press berkata, tindakan itu memberi peluang kepada filem Cina tempatan meraih lebih banyak anugerah dalam FFM.

Beliau turut menyokong tindakan penganjur mencalonkan filem Ola Bola dalam kategori filem bukan bahasa Melayu, memandangkan hanya 70% dialognya ialah bahasa Melayu.

Tegasnya, sejak 2011, penganjur FFM jelas menyatakan filem yang menyertai kategori filem bahasa Melayu perlu 100% terdiri daripada bahasa Melayu.

“Sejak lima tahun lalu, FFM menggunakan cara sama untuk membolehkan filem Cina tempatan mengambil bahagian dan filem The Journey memenangi kategori filem terbaik bukan bahasa Melayu tahun lalu.

“Tetapi, disebabkan masalah berhubung ciri-ciri filem Ola Bola, maka ia mencetuskan kontroversi tidak sepatutnya,” katanya yang berpendapat tindakan memboikot FFM akan menyebabkan filem Cina tempatan kehilangan satu platform untuk berkembang.

Penganjuran anugerah berprestij FFM28 mencetuskan kontroversi buat julung kali tahun ini, susulan pencalonan filem terbaik, pengarah terbaik dan lakon layar terbaik dibahagikan kepada dua kategori, iaitu filem dalam bahasa Melayu dan bukan bahasa Melayu.

Ye berkata, pembahagian kategori itu mempunyai manfaatnya kerana syarat ditetapkan juri untuk skrip berlainan bahasa adalah berbeza.

“Ini boleh difahami kerana jalan cerita berbeza, permintaan juri terhadap kualiti filem itu sudah tentu tidak sama,” katanya sambil menambah penganjur jarang menjemput filem Cina menyertai FFM sebelum ini, menyebabkan timbul salah faham di kalangan masyarakat Cina terhadap FFM.

Sementara itu, pengarah filem Cina tempatan menegaskan tidak akan memboikot FFM28, hanya kerana penganjur mengasingkan kategori filem berbahasa Melayu dan bukan Melayu.

Pengarah filem Cina Huat The Fish, Silver yang dipetik China Press menyeru semua pihak tidak terlalu memandang serius isu itu sehingga bertindak menarik diri atau memboikot FFM28.

Jelasnya, penganjur berhak menetapkan syarat-syarat serta kategori untuk FFM28.

“Bercakap mengenai adil, di mana-mana tempat dalam dunia ini sama sahaja, tidak kira adil atau sebaliknya, akan ada orang yang mengkritik, jadi kenapa perlu terlalu kisah mengenainya?” soalnya.

Menurutnya, beliau sendiri tidak kisah mengenai pembahagian kategori itu, malah menang atau sebaliknya juga tidak penting baginya.

Namun, beliau berpendapat, isu itu secara tidak langsung mencerminkan filem Cina tempatan dititikberatkan dan diiktiraf rakyat.