Sambutan hangat skim syariah KWSP, termasuk bukan Islam

Christina-Yeow

KUALA LUMPUR: Simpanan Syariah di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang baru dibuka pendaftarannya hari ini mendapat sambutan hangat, dengan lebih 5,000 orang memindahkan akaun kepada skim baharu itu dalam masa 30 minit.

“Kita buka di seluruh cawangan kita pada 7.45 pagi hari ini. Sambutan agak meriah dan sememangnya ini sesuatu pilihan yang baik kepada ahli kita,” kata Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan pada pelancaran pendaftaran Simpanan Syariah di KWSP Jalan Raja Laut pagi tadi.

Simpanan Syariah turut menarik minat penyarum bukan Islam, seperti pekerja swasta Christina Yeow, 49, yang yakin dengan keuntungan lebih daripada skim itu.

“Saya rasa walaupun Simpanan Syariah, tetapi saya yakin dia akan membawa pulangan yang lebih baik daripada simpanan konvesional. Pelaburannya juga tidak ke arah tempat haram seperti perjudian.

“Pelaburan yang dilakukan ke arah kebaikan, pastinya membawa pulangan yang baik,” kata Yeow ditemui FMT.

Skim itu akan dilaksanakan pada Januari 2017 dan kini dibuka untuk pendaftaran tanpa mengira agama dan warganegara.

Rata-rata, pencarum beragama Islam memilih menukar daripada simpanan konvensional kerana mahu simpanan mereka dijamin halal.

Pencarum Abdul Hamid Sheikh Daud, seorang juruwang, berkata beliau berpindah kepada Simpanan Syariah kerana mahu mengamalkan nilai Islam yang betul.

“Sebagai orang Islam kita perlu menukar simpanan kita kepada simpanan Syariah. Bukan sahaja rasa lebih selamat, tetapi dapat terhindar daripada pelaburan yang tidak baik dan terhindar daripada syubhat,” katanya.

Mohamad Al-Hafiz Adnan, 29, berkata beliau selama ini “ragu-ragu” terhadap simpanannya.

“Sebelum ini tak yakin halal. InshaAllah (apabila tukar kepada Simpanan Syariah), sudah tentu ada penasihat syariah maka pelaburan ke tempat yang halal sahaja. Maka tiada perasaan ragu-ragu selepas ini,” katanya.