Sarawak mahu Petronas jelas mengapa berhentikan anak watan

petronas-sarawak

KOTA SAMARAHAN: Petronas dijangka memberi taklimat kepada kerajaan negeri tentang status pekerjanya di Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas menjangka Petronas akan memberi taklimat kepada kerajaan Sarawak tentang status pekerjanya yang ingin bekerja di negeri ini.

“Kerajaan negeri mengambil keputusan melaksanakan moratorium tentang permohonan permit kerja melibatkan pekerja Petronas (bukan anak Sarawak) yang ingin bekerja di negeri ini. Kami sedang menunggu taklimat mengenai status semasa guna tenaga dalam Petronas Sarawak,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, Uggah memberitahu akhbar tempatan ‘The Borneo Post’ bahawa kerajaan negeri akan melaksanakan moratorium dengan serta-merta mengenai semua permohonan baharu bagi mendapatkan permit kerja oleh pekerja Petronas dari luar Sarawak.

Uggah dipetik sebagai berkata kerajaan negeri mengambil keputusan itu berikutan aduan yang diterimanya daripada pegawai Petronas berasal dari Sarawak yang perkhidmatan mereka ditamatkan atau diberhentikan kerja.