Senjata, kes tembak, culik, tiada kaitan IS

Ayob-Khan-Mydin-Pitchay

KUALA LUMPUR: Isu penyeludupan senjata api, kes tembak dan kes penculikan yang berlaku di negara ini, tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas IS setakat ini, kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau berkata ini berikutan penjenayah biasa tidak mempunyai ideologi manakala anggota IS mempunyai ideologi dan propaganda tertentu dalam menyebarkan fahaman IS.

“Setakat ini tidak ada kaitan dan maklumat perisikan yang boleh mengesahkan mereka ini (anggota IS) bekerjasama dan mendapat ‘hubungan kerja’ dengan penjenayah biasa,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai jenayah seperti seludup senjata, kes tembak dan kes penculikan yang berlaku di negara ini mempunyai kaitan dengan IS.

Ditanya jika anggota IS ini mampu memiliki senjata api seperti penjenayah biasa, Ayob Khan berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan bahawa senjata api yang mudah diperoleh penjenayah biasa ini turut mampu dimiliki anggota IS.

“Sekiranya mereka (anggota IS) ini berjumpa dengan penjenayah biasa mereka juga akan mendapatkan akses yang sama seperti ‘orang tengah’ bagi mendapatkan keperluan mereka (senjata api dan bahan letupan).

“Ini yang merisaukan kami sekiranya ada elemen IS ini mendapat bantuan penjenayah biasa bagi mendapatkan senjata api dan bahan letupan, kemungkinan senjata api ini akan jatuh ke tangan anggota IS dan mereka akan melakukan serangan,” katanya.

Ayob Khan berkata pihaknya sentiasa mengambil langkah pencegahan dan memantau perkara ini dari semasa ke semasa bagi mengelakkan insiden sedemikian terjadi.

Sementara itu, Felo Kanan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) Engku Ahmad Fadzil Engku Ali berkata, pihak berkuasa harus mempunyai data berkaitan aktiviti seperti seludup senjata api dan kes tembak yang mencukupi bagi mengaitkan insiden yang berlaku di negara ini ada kaitan dengan IS.

“Dengan adanya data ini, sekiranya kejadian tembak, culik dan penyeludupan berlaku kita mempunyai maklumat yang cukup untuk mengaitkan ia antara aktiviti kumpulan IS.

“Apapun, pemantauan terhadap penyeludupan senjata api dan gejala rasuah perlu dipertingkat untuk mengelakkan ia disalurkan kepada kegiatan keganasan IS,” kata Engku Ahmad Fadzil.

Bagi Pensyarah Pengajian Islam dan Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr Ahmad El Muhammady turut bersetuju dengan perkara yang sama disuarakan Ayob Khan.

“Kebanyakan kes-kes sedemikian dilakukan penjenayah tempatan dan kita perlu melihat dari sudut ‘kemungkinan’ kumpulan IS ini memanipulasi keadaan, berkemungkinan militan ini mengupah individu yang mampu menyelesaikan agenda tertentu mereka suatu hari kelak,” katanya.