SPRM antara institusi paling dipolitikkan, kata timbalan menteri

Datuk-Razali-Ibrahim

KUALA LUMPUR: Seorang Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata hakikat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) institusi yang sering dipolitikkan tidak membantu usaha mencegah rasuah di negara ini.

Berucap pada majlis penutup Konvensyen Pencegahan Rasuah ke-6 di Universiti Islam Antarabangsa hari ini, Datuk Razali Ibrahim berkata ramai tidak mempercayai SPRM dan mempolitikkan setiap perkara berkaitan badan itu.

“Pemimpin bersara orang kata ‘dipetisejukkan’. Pemimpin yang dilantik orang kata daripada kumpulan tertentu,” katanya merujuk persaraan tiga pemimpin tertinggi SPRM dan pelantikan bekas Pengarah Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara Jabatan Peguam Negara, Datuk Dzulkifli Ahmad sebagai pesuruhjaya baharu.

Tiga persaraan itu mencetuskan bantahan di saat SPRM terlibat dalam siasatan skandal 1MDB, apatah lagi Dzulkifli yang dilantik merupakan pegawai kanan Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali yang membersihkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak daripada sebarang kesalahan berhubung isu derma RM2.6 bilion.

Razali yang juga merupakan Ahli Parlimen Muar berkata perbualan berkisar spekulasi politik seperti itu dan bukan tentang bagaimana untuk mengatasi rasuah tidak membantu keadaan.

Walhal, tegasnya, SPRM adalah institusi kerajaan yang paling telus dengan lima panel bebas yang memantau operasinya.

“Sejumlah 42 ahli daripada tokoh ternama yang berintegriti dalam 5 panel. Ini semua untuk memberi keyakinan SPRM bersungguh-sungguh selesaikan masalah (rasuah),” katanya.

Lima panel yang dimaksudkan adalah Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Panel Penilaian Operasi dan Jawatankuasa Aduan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah.

Malah, katanya lagi, setiap kes yang tidak diteruskan dengan pendakwaan tidak ditutup dengan begitu sahaja, sebaliknya diserahkan kepada Jawatankuasa Penilaian untuk membuat siasatan semula.

“Dalam ratusan kes yang ditolak, semuanya dinilai semula dan ada yang kini dibicarakan,” katanya.

Dalam sidang media selepasnya, beliau turut mengulas cadangan Institut Demokrasi dan Hal-ehwal Ekonomi (IDEAS) untuk memerangi rasuah, termasuk menaiktaraf SPRM menjadi Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah (IACC).

“Sebenarnya beberapa cadangan itu sudah ada (dalam SPRM). Cuma satu perkara yang mengekang persepsi (SPRM tidak bebas) adalah jawatankuasa lantikan yang bebas.

“Secara dasarnya Kabinet sudah bersetuju dengan perkara ini. Cuma ia memerlukan sokongan 2/3 kerana perlu pindaan perlembagan. Niat sudah ada cuma tinggal untuk dibentangkan,” katanya.