Bila tambang LRT Malaysia akan jadi murah seperti Singapura?

ONG SINGAPOREPETALING JAYA: Keengganan kerajaan Malaysia menampung perbelanjaan bagi pembinaan infrastruktur pengangkutan awam menyebabkan kos tambang yang dikenakan terhadap pengguna di negara ini mahal.

Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming berkata keadaan itu berbeza dengan Singapura yang mendanai pembinaan aset pengangkutan awam seperti landasan kereta api sementara SMRT memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Tidak realistik untuk mengharapkan operator pengangkutan awam membina landasan LRT yang kosnya sangat tinggi. Biasanya kos ditanggung kerajaan sementara operator membiayai kos operasi.

“Salah satu alasan utama kerajaan Malaysia tidak berbuat demikian ialah kerana kedudukan bajetnya yang defisit sejak 1998,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kian Ming berkata beban hutang yang tinggi serta kegagalan Prasarana meraih keuntungan juga antara punca sistem pengangkutan awam di Malaysia ketinggalan jauh berbanding Singapura.

Katanya, sejak Prasana mengambil alih aset STAR dan Aliran Putra, syarikat itu hanya mencatatkan keuntungan pada 1999 dan 2000.

Kian Ming berkata sebagai contoh tambang dari Stesen MRT Pasir Ris ke stesen terawal di bandaraya itu, hanya SG$2 sementara tambang LRT dari Stesen Gombak ke Stesen Putra Height, RM6.20.

“Jadi kenapa tambang LRT di negara ini lebih tinggi hingga tiga kali ganda?

“Sepanjang 17 tahun beroperasi, Prasarana hanya berjaya merekodkan keuntungan sebanyak dua kali, malah, rekod kerugian tertinggi dicatatkan syarikat itu RM885.6 juta pada 2014,” katanya.

Beliau berkata kegagalan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menyelaraskan tambang pengangkutan awam turut menyumbang kepada kelemahan itu.

“Kali terakhir tambang pengangkutan awam dikaji semula 15 tahun lalu, malah tiada sebarang penjelasan serta mekanisme penetapan harga tambang diberikan,” katanya.