‘Dasar kerajaan mengenai pekerja asing masih keliru’

charles-santiago-foreign-workers-1

PETALING JAYA: Kekurangan dasar yang cekap dalam pengambilan pekerja asing mungkin menyebabkan salah guna pihak tertentu dalam Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengaut keuntungan, kata Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.

Mengulas aduan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mengenai pelanggaran arahan pembekuan pengambilan pekerja asing oleh syarikat tertentu, Santiago berkata beliau mengesyaki terdapat “elemen dalam kementerian” yang mengambil kesempatan daripada ketidaktentuan ini untuk “menjana keuntungan segera”.

“Situasi ini wujud ekoran tiada dasar yang wajar bagi pekerja asing,” katanya kepada FMT.

Semalam, Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan berkata, pembekuan pekerja asing yang diumumkan Februari lalu tidak menghalang syarikat tertentu daripada membawa mereka masuk pekerja asing.

Justeru, beliau mengeluh kenyataan yang dikeluarkan kerajaan sejak Februari lepas bercanggah hakikat sebenar yang berlaku.

Pada 12 Mei, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan Kabinet menarik balik pembekuan bagi sektor perkilangan, perladangan, pembinaan dan perabot.

Bagaimanapun, bekas Ketua Pengarah Imigresen Sakib Kusmi pula dipetik berkata syarat ketat dikenakan untuk menyertai Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) atau Program Rehiring bagi memastikan tiada pihak cuba mengaut keuntungan daripada pihak berkenaan.

Pelaksanaan program yang dijadualkan berakhir pada 30 Jun, dilakukan dengan berhati-hati dan terkawal supaya tidak berlaku kes penipuan oleh individu yang tidak bertanggungjawab terhadap Pati.

KDN pada 1 Jun mengumumkan pihaknya tidak akan menarik semula larangan sehingga majikan berhenti menggunakan agen dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kebajikan pekerja yang dibawa.

Santiago berkata, susulan kenyataan yang berbeza-beza daripada menteri dan agensi, ia menimbulkan kekeliruan dalam kalangan majikan.

“Pengambilan pekerja asing adalah di bawah bidang kuasa KDN.

“Mereka yang bertanggungjawab mengeluarkan permit pekerja asing serta memberikan sambungan untuk permit yang sedia ada. Sebarang konflik yang berlaku adalah kesalahan menteri KDN dan saya keliru bagaimana Menteri Pengangkutan pula yang mengeluarkan kenyataan berkenaan pekerja asing.”

Merujuk kepada masalah kekurangan pekerja dalam empat sektor seperti yang disebut Tiong Lai, Santiago menggesa kerajaan menyarankan majikan supaya mengambil rakyat Malaysia dengan memenuhi syarat yang diterima, termasuk memberikan gaji yang sepatutnya.