FFM28: Pulang trofi guna plastik hitam bukan plastik sampah

Mohd-Noor-Kassim

KUALA LUMPUR: Pemenang anugerah sinematografi terbaik yang memulangkan dua trofinya kepada penganjur Festival Filem Malaysia ke-28 menjelaskan anugerahnya dipulangkan dalam plastik hitam biasa, bukan plastik sampah seperti yang dilaporkan.

“Saya bukan ambil plastik sampah kotor untuk letak trofi itu,” ujar Mohd Noor Kassim ketika dihubungi FMT, “Bagi saya, itu cara sopan kerana jika saya guna plastik biasa, orang sekeliling akan nampak (trofi itu),” katanya.

Beliau turut menjelaskan ungkapan ‘malu jadi orang Melayu’ seperti yang dilaporkan media merujuk kepada kemahuan dan keberanian untuk bersaing dengan bangsa lain.

“Sebagai pengarah berbangsa Melayu, saya mahu bersaing dengan pengarah berbangsa lain. Kita tinggal di Malaysia yang berbilang bangsa dan agama. Mohon pihak penganjur (FFM) berfikiran terbuka dalam menjadikan industri perfileman kita berdaya saing,” katanya.

Dua anugerah itu dimenanginya pada 2009 dan 2011 untuk filem Setem dan Hikayat Merong Mahawangsa. Trofi dipulangkan kepada penganjur di majlis dialog FFM28 di Platinum Sentral semalam sebagai tanda bantahan kepada dasar pengasingan filem berdasarkan bahasa.

Pengasingan filem berdasarkan bahasa diperkenalkan sejak 2011. FFM mengasingkan dua lagi kategori pada tahun ini iaitu Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik kepada bahasa Melayu dan bukan bahasa Melayu.

Tindakan ini mengundang kritikan dan menyebabkan filem pujian ramai seperti “Ola Bola” dan “Jagat” tidak dapat bersaing dengan filem berbahasa Melayu.

Mengulas lanjut, penggiat perfileman ini berpendapat tindakan penganjur FFM28 mengasingkan filem terbaik kepada bahasa Melayu dan bukan bahasa Melayu akan menghakis perpaduan.

Mohd Noor Kassim menarik diri daripada pencalonan dalam kategori “sinematografi terbaik” FFM ke 28 yang dijadual berlangsung bermula 1 hingga 3 September ini.